Ahad, 8 April 2018

Veteran: Jangan salah guna aset tentera, dana awam untuk politik



PETALING JAYA: Kumpulan veteran hari ini mengingatkan ahli politik dan penjawat awam dilarang menggunakan aset ketenteraan serta dana awam untuk tujuan politik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohd Arshad Raji berkata, dana awam, aset kerajaan, hartanah dan sumber manusia hanya boleh digunakan untuk tujuan kecemasan atau kegunaan rutin.

“Penggunaan aset ketenteraan, termasuk pesawat, helikopter, kapal tentera laut oleh mana-mana ahli politik dalam kerajaan sementara adalah dilarang keras.

“Mana-mana penyalahgunaan adalah terang-terangan mengabaikan undang-undang. Ia adalah salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan ahli dan parti politik dari kedua-dua pihak supaya tidak menggunakan politik kebencian serta perkauman untuk menjejaskan keharmonian negara pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Arshad turut membidas tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengarahkan pembubaran sementara PPBM sehari sebelum pembubaran Parlimen, yang disifatkan melangkaui garis berkecuali dan mengabaikan perasaan rakyat.

“Di manakah prinsip keadilan? Di manakah prinsip kesopanan? Di manakah prinsip berkecuali?

“Sekiranya penjawat awam kanan yang terdidik dan bertanggungjawab ternyata tidak dapat memperlihatkan prinsip-prinsip tersebut dalam tadbir urus, dalam membuat keputusan dan tata laku mereka, sedih dimaklumkan, ia adalah perarakan yang cepat menuju kehancuran dan kemusnahan bagi negara kita.”

Khamis lalu, JPPM mengarahkan pembubaran sementara PPBM kerana gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta penyata kewangan parti itu, selepas diarah berbuat demikian pada 28 Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Ia susulan aduan ahli PPBM mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.

Ketua Pengarah JPPM, Surayati Ibrahim dilaporkan berkata, selepas mengeluarkan perintah itu, PPBM mempunyai 30 hari untuk menyerahkan butiran dikehendaki atau parti itu akan dibubarkan sekiranya gagal berbuat demikian.

Dalam 30 hari itu, PPBM dilarang menggunakan nama dan simbolnya serta menjalankan aktiviti parti.

Kabinet sekarang adalah ‘kerajaan sementara’, kata KSN

Tiada ulasan: