shahbudindotcom
Ramai
yang menjangka Parlimen akan dibubarkan pada minggu ini iaitu sebaik
saja sidang Dewan Rakyat berakhir pada Khamis, 5 April dan sebelum BN
melancarkan manifestonya pada 7 April di Stadium Bukit Jalil.
Adalah
menjadi kebiasaan bagi BN melancarkan manifesto setelah Parlimen
dibubarkan dan jika demikian, tarikh yang dirasakan sesuai untuk
pembubaran ialah pada Jumaat, 6 April, selepas mesyuarat kabinet kali
terakhir diadakan.
Namun
demikian, segala-galanya masih terpulang kepada Najib Razak. Kelewatan
beliau membubarkan Parlimen sehingga ke tarikh akhir tempoh, sesuatu
yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, tidak
lain ialah kerana ketidakyakinan terhadap kemenangan mampu diraih oleh
BN.
Jika
Najib berasa mampu meraih kemenangan, tentu sudah lama beliau
mengadakan pilihanraya bagi memperolehi mandat baru dan mendiamkan
pembangkang serta pengkritik-pengkritik yang selalu kritikal
terhadapnya.
Tetapi,
Najib hakikatnya tidak yakin kerana belau sedar masalah diri dan
keluarganya yang membelenggu UMNO dan BN tidaklah begitu mudah untuk
dilupakan oleh rakyat yang dalam waktu yang sama sentiasa diperah poket
mereka untuk membayar cukai GST.
Kerana
ketidakyakinan terhadap kemenangan itulah yang menyebabkan pembubaran
Parlimen ditangguhkan sehingga ke hari ini di mana Najib akhirnya
menemui sokongan baru yang dirasakan benar-benar mampu mencipta
kemenangan buatnya.
Sokongan baru itu ialah pengenalan akta berita palsu dan persempadanan baru kawasan pilihanraya.
Dengan
akta berita palsu, Najib dipercayai akan menggunakannya untuk
mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat, di samping mencipta lebih
banyak kekeliruan dan kekaburan terhadap skandal-skandal yang ditujukan
kepadanya.
Selama
ini banyak skandal yang terdedah adalah skandal yang sahih yang
memalukan serta tidak mampu ditepis kebenarannya. Melalui akta berita
palsu yang penyiasatan atau pendakwaan lebih memihak kepada kerajaan,
penyokong Najib akan mempunyai kelebihan untuk mencipta banyak rekayasa
palsu bagi mewujudkan kekeliruan dan menutup skandal yang didedahkan
itu.
Melalui
persempadanan baru pula, pemisahan pengundi berdasarkan kaum,
pemindahan kelompok pengundi pos serta pengundi awal ke lokasi-lokasi
terpilih dan pengundi hitam dilonggokkan ke kawasan yang sedia hitam,
jika peratusan yang keluar mengundi adalah rendah, BN akan mampu
mengekalkan kuasanya walaupun dengan hanya sokongan undi popular sekitar
40 peratus saja.
Bagaimanapun,
oleh kerana soal undi adalah berkaitan pilihan hati, kedua-duanya
elemen itu belum tentu juga akan memberi kelebihan atau kemenangan
kepada BN, terutama jika peratusan yang keluar mengundi meningkat
sehingga 85 atau 90 peratus.
Untuk
itu, Najib, UMNO dan BN sebenarnya masih dalam ketidaktentuan. Ia
ditambah lagi dengan sokongan rakyat terhadap program jelajah Tun
Mahathir Mohamad, bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan, terus dan terus
mendapat sambutan yang hangat.
Jika
sebelum ini ramai yang terlihat menyimpan perasaan dalam diam dan hanya
akan meluahkan pilihan mereka di kertas-kertas undi, kebelakangan ini
nampaknya pengundi mahu menunjukkan "warna" mereka secara terbuka dan
terang-terangan.
Andai
kata ketidaktentuan terhadap kemenangan masih kabur, tidak mustahil
Najib akan menangguhkan lagi tarikh pembubaran Parlimennya yang dijangka
minggu ini.
Untuk apa beliau membubarkan Parlimen jika diketahui kekalahan akan menimpanya?
Mungkin
manifesto akan dibentangkan terlebih dahulu dan beberapa minggu
kemudian barulah Parlimen akan dibubarkan. Memang ini suatu kelainan dan
tidak pernah dilakukan BN, tetapi bukankah Najib selalu melakukan
kelainan seperti memasukkan derma untuk parti kononnya yang berjumlah
RM2,600 juta ke dalam akaun peribadi?
Jika
kelainan sebesar itu pun mampu dilakukan oleh Najib, apalah sangat
melakukan kelainan dengan membentangkan manifesto terlebih dahulu
sebelum membubarkan Parlimen.
Lagi
pula Pakatan Harapan sudah lebih awal membentangkan manifestonya yang
kemudian diikuti oleh Gagasan Sejahtera, maka tidaklah ternampak luar
biasa sangat jika Najib turut membentangkan manifesto BN dengan lebih
awal juga.
Apa
pun, suatu yang nyata kali ini ialah rakyat sudah hilang "stim"
mengenai teka-teki tarikh pembubaran Parlimen dan pilihanraya diadakan.
Oleh kerana sudah berada di penghujung tempoh, bila pun tarikhnya tidak
lagi penting bagi rakyat dan pengundi.
Sama ada Parlimen akan dibubarkan minggu ini atau Najib menangguhkannya, juga tidaklah penting lagi.
Yang
lebih penting dan tidak sabar untuk dilakukan oleh pengundi ialah
menukar kerajaan dan mengeluarkan segera Najib serta Rosmah Mansor dari
kediaman Seri Perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan