Ahad, 15 April 2018

‘Sedap’ sangatkah kopi di kelab malam atau ada ‘penyedap’ lain?

Rizalman beri kesan buruk kepada BN dan UMNO berdepan PRU14


“SAYA diperangkap”. Jawapan yang pernah diberikan pelakon Farid Kamil selepas ditangkap kerana ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Demikian juga jawapan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Rizalman Mokhtar, 46 tahun, selepas ujian air kencingnya juga didapati positif dadah jenis syabu.

Dua-dua bergelar datuk. Dua-dua juga selebriti terkenal, cuma bidangnya sahaja berbeza. Farid dalam bidang lakonan dan Rizalman pula politik. Dua-dua banyak wang dan banyak pengaruh. Tapi, pengaruh Rizalman lagi kuat, sehingga ‘datuk seri’ dari PMO sendiri turun ke balai polis untuk pastikan dia dibebaskan.

Dua-dua ditangkap mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rizalman ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kelab De Vegas di Jalan Imbi pada 2 April 2018 kira-kira jam 4 pagi. Dia dibawa ke IPD Dang Wangi untuk ujian air kencing dan didapati positif dadah.

Sekali dengar, Pedang boleh terima alasan mereka ‘diperangkap’. Tapi, berdasarkan pengalaman Pedang berkecimpung dalam bidang kewartawanan lebih 34 tahun, susah sikit nak percaya. Apa lagi kalau jawapan ‘saya pergi untuk minum kopi’. Geli hati Pedang dengar jawapan macam ni.

‘Sedap’ sangatkah kopi dalam kelab malam atau pusat karaoke atau ada ‘penyedap’ lain???



Tahun 1980-an dan 1990-an dulu Pedang lebih banyak fokuskan kepada berita jenayah. Banyak operasi polis, terutama berkaitan dadah, selain penangkapan pendatang asing tanpa izin, yang Pedang turut serta.

Pedang tahu bagaimana tugas anggota polis dalam menyiasat sesuatu kes dan melakukan serbuan. Selain membuat pemeriksaan rambang, polis juga menyerbu sesuatu tempat berdasarkan maklumat.

Biasanya ketika bahagian narkotik melakukan serbuan, contohnya dalam pusat hiburan, mereka akan membawa bersama alat ujian dadah. Anggota polis akan mengumpul semua pengunjung, membahagikan mereka kepada lelaki dan perempuan dan meminta kad pengenalan.

Mereka akan diberi botol kecil untuk mengisi air kencing masing-masing dan diingatkan supaya tidak mencampurkannya dengan air biasa ketika di dalam tandas.  

Kisah tambahan: Ketika inilah berlaku macam-macam perkara menggelikan hati, terutama apabila ada pengunjung tak dapat nak kencing – tak dapat nak isi air kencing dalam botol diberikan – kerana takut.

Botol berisi air kencing yang ditandakan nama kemudian diserahkan kepada anggota polis, yang terus membuat ujian mengesan dadah. Yang negatif dibebaskan, tapi yang positif dadah akan naik ‘black maria’ ke IPD atau ke ibu pejabat polis kontinjen (IPK). Ringkasnya, di IPD atau IPK, sekali lagi saringan air kencing dilakukan ke atas mereka.

Dan, dalam kes Rizalman, tentulah ada maklumat. Tapi, tak kiralah sama ada diperangkap atau tidak, persoalannya ‘apa anda buat dalam kelab malam sehingga jam 4 pagi’?

Anda seorang:
1. Muslim – apa yang anda buat di tempat maksiat?;
2. Anda seorang bakal calon pilihan raya. Kenapa anda tunjuk contoh tidak baik dengan berada di tempat maksiat hingga jam 4 pagi? Belum pun menjadi wakil rakyat, anda sudah menunjukkan contoh tidak baik;
3. Anda seorang bekas Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Amanah Raya Berhad. Bagaimana rakyat hendak percaya kepada anda atau Pengarah sedia ada, untuk memegang amanah, jika sehingga jam 4 pagi pun anda berada di tempat maksiat, untuk berhibur?;
4. Anda sebagai pemimpin beberapa pertubuhan bukan kerajaan, termasuk belia dan pemulihan dadah?;
5. Anda Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur? Kenapa kelab malam atau karaoke itu boleh beroperasi sehingga jam 4 pagi? Ada lesen?
6. Apa anda buat dalam bilik karaoke, menyanyi sahaja? Sedangkan mengikut laporan mengikut laporan ada ‘pelayan’ juga dalam bilik itu? Anda seorang pemimpin perlu tunjuk contoh teladan yang baik.ada ‘pelayan’ juga dalam bilik itu? Anda seorang pemimpin perlu tunjuk contoh teladan yang baik.
Pengalaman Pedang, di pusat hiburan seperti karaoke yang bersepah di Kuala Lumpur menyediakan ‘pelayan’ wanita yang dipanggil ‘Guess Relation Officer’ (GRO). Lagi terkenal pusat karaoke itu, lagi mahal bayarannya, lagi ‘cantik-cantik’ GROnya, lagi singkat pakaiannya, malah ada yang lebih berani berpakaian separuh bogel dan menjadi ‘habuan’ pelanggan.

Itu antara persoalan yang bermain di kalangan netizen. Mereka tidak peduli sama ada anda diperangkap atau tidak, tetapi anda sebagai pemimpin dan bakal calon atau bakal wakil rakyat yang akan diamanahkan tanggungjawab menjaga rakyat, bolehkan menjadi pemimpin jika contoh yang ditunjukkan pun sudah tidak baik.

Jadi fikir-fikirlah sendiri. Jangan nak tuduh orang lain perangkap kita kalau diri sendiri tak tahu jaga perangai. Banyak lagi gerai di KL untuk minum kopi jam 4 pagi. Bukan bersalah atau tidak anda ambil dadah. Kalau nak kira bersalah atau tidak yang akan buat keputusan adalah mahkamah.

Umumnya, jika postitif ujian saringan dadah kali pertama akan menyebabkan seseorang itu dimasukkan dalam lokap dahulu. Kemudian, air kencing itu dihantar ke makmal untuk ujian kali kedua. Berdasarkan pengalaman Pedang, ketika di makmal ini macam-macam boleh jadi. Mungkin akan berlaku perubahan kepada air kencing itu.

Jika ini berlaku, maka pandai-pandailah peguam yang mewakili tertuduh bermain kata dan membangkitkan isu teknikal yang mampu mempengaruhi mahkamah membebaskan tertuduh. Dalam kes seperti ini, Rizalman hanya akan dihadapkan di Mahkamah Majistret.

Pedang kasihan kepada inspektor polis yang mengetuai operasi menangkap Rizalman. Silap-silap ke Sabah, Sarawak lah saudara dan saudari nanti.

Kata Pedang: Kalau di Jepun dan Korea, mereka sudah meletak jawatan tak kira bersalah atau tidak jika ada skandal membabitkan mereka diketahui umum. Tapi di Malaysia lain. Pemimpin sudah tak ada perasaan malu lagi dah. Kulit muka dah tebal. Bila kita kata macam-macam, dituduh kita sebar berita tak benar, berita palsu, berita fitnah.

*Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Sebarang ulasan dan pertanyaan sila e-mel katapedang@gmail.com


Tiada ulasan: