Ahad, 15 April 2018

Pekeliling uskup Kristian tukar ‘God’ jadi ‘Allah’ cabar Islam

ISMA WEB 

 

Bishop Bernard Paul sengaja provokasi pihak berkuasa agama


BANGI – Pensyarah kontroversi, Dr Kamarul Zaman Yusoff mempersoalkan tindakan uskup Kristian, Bernard Paul, yang menterjemahkan perkataan ‘God’ menjadi ‘Allah’ dalam pekeliling versi bahasa Melayu yang disebarkan, semalam.

Beliau mempertikaikan tindakan Paul yang mungkin sengaja mahu mencetuskan kemarahan umat Islam, selain memprovokasi pihak berkuasa agama Islam supaya mengambil tindakan ke atasnya.

Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, Bishop of Melaka Johor Diocese, Rt Rev Bernard Paul, semalam, telah menyebarkan versi Bahasa Malaysia kepada Bishop’s Circular BP/2018/015 bertajuk ‘The GE14 is here’ yang dikeluarkan pada 11 April lalu.

“Seperti di dalam versi Bahasa Inggerisnya, versi Bahasa Malaysia pekeliling bernama Pekeliling Uskup BP/2018/015 bertajuk ‘PRU-14 telah tiba’ ini menggesa pembacanya ‘Tandakan X untuk perubahan dan Malaysia yang bersih’,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Kamarul berkata, apa yang mengejutkan beliau ialah keberanian Paul membuat terjemahan ayat bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu iaitu:

(1) Ayat “Give to Caesar that belongs to Caesar; and to God the things that are God’s” menjadi “Berikanlah kepada Kaisar apa yang milik Kaisar dan kepada Allah apa yang milik Allah”.

(2) Menterjemahkan ayat “May God bless you in your choice” menjadi “Semoga Allah memberkati anda dalam pilihan anda”.

(3) Menterjemahkan ayat “Together building His Kingdom” menjadi “Bersama membangun Kerajaan Allah”.

Katanya, perbuatan ini tidak boleh diterima kerana mengikut Seksyen 9 (2) Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam 1988 Melaka yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 1990 dan Seksyen 9 (2) Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam 1991 Johor yang mula berkuat kuasa pada 19 Julai 2007, seseorang yang bukan seorang Islam melakukan suatu kesalahan jika ia, dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan, menggunakan mana-mana ungkapan yang berunsur Islam, termasuk ungkapan “Allah”, kecuali sebagai petikan atau rujukan.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah jika seorang yang bertugas di Melaka dan Johor seperti Paul tidak tahu kewujudan Seksyen 9 (2) Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam 1988 Melaka dan Seksyen 9 (2) Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama-agama Bukan Islam 1991 Johor.

“Atau apakah mungkin Bishop Bernard Paul sengaja mahu mencetuskan kemarahan umat Islam dan memprovokasi pihak berkuasa agama Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan undang-undang ke atas diri beliau untuk sebab tertentu yang beliau sahaja tahu? Walau apa pun, penggunaan ungkapan “Kerajaan Allah” oleh Bishop Bernard Paul sangatlah tidak boleh diterima,” katanya.


Tiada ulasan: