Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Tarikh rundingan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air
Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), yang sepatutnya dimuktamadkan pada
bulan lalu, dilanjutkan sehingga 4 Julai 2018.
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata, permohonan lanjutan selama
sembilan bulan itu dilakukan oleh kerajaan pusat menerusi Kementerian
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam surat kepada kerajaan
Selangor bertarikh 28 September 2017.
"Pada 28 September 2017, satu lagi surat daripada kementerian dihantar
ke kerajaan negeri yang menyatakan memandangkan perjanjian jual beli
saham dijangka tak dapat dimuktamad pada atau sebelum 5 Oktober (2017),
maka seperti yang diperuntukkan dalam klausa 5 perjanjian, pihak-pihak
kepada perjanjian utama hendaklah melanjutkan SPLASH 'target date'
kepada satu tempoh yang dipersetujui bersama.
"Dan dalam surat sama, kementerian juga cadangkan supaya perjanjian
jual beli saham dilanjutkan 9 bulan iaitu sehingga 4 Julai 2018.
"Maka tarikh lanjutan sehingga 4 Julai itu ditentukan oleh kementerian," katanya dalam sidang DUN hari ini.
Azmin berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak.
Sulaiman sebelum itu membidas kerajaan negeri kerana masih belum
memuktamadkan rundingan pengambilalihan Splash sedangkan tempoh
sebenarnya sudah berakhir pada Oktober lalu.
"Rundingan ini sampai Oktober tapi sekarang November. Soalan saya,
berapa nilai tawaran daripada kerajaan negeri kepada SPLASH," soalnya.
Sidang DUN hangat seketika akibat 'pertikaman lidah' antara Azmin
dengan Sulaiman, apabila ADUN Barisan Nasional (BN) mendesak kerajaan
negeri mengemukakan nilai sebenar pengambilalihan Splash yang ditawarkan
kerajaan negeri.
Azmin kemudian membidas kembali dengan menyalahkan kerajaan persekutuan
kerana 'bermain tarik tali' apabila enggan mendedahkan harga yang
ditentukan oleh badan penilaian bebas, Deloitte Corporate Solutions Sdn
Bhd (Deloitte Malaysia).
Deloitte Malaysia adalah badan penilai bebas yang dilantik oleh
kerajaan persekutuan untuk menentukan nilai pengambilalihan Splash.
"Kerajaan negeri sudah jawab (surat) pada 4 Oktober 2017 di mana
kerajaan negeri nyatakan secara jelas kita rasa kecewa kerana maklum
balas berkaitan hasil dapatan penilaian yang dibuat dibuat Deloitte
hanya dikemuka kepada kerajaan negeri setelah tiga bulan.
"Tiga bulan nak jawab surat kerajaan negeri...itupun jawapan yang
diberikan 'maklum balas yang dikemukakan oleh Deloitte adalah hanya
kepada kerajaan persekutuan sahaja dan tak boleh dikongsi dengan
kerajaan negeri'," kata Azmin.
Ujarnya, tindakan kerajaan Persekutuan itu tidak telus sebagaimana
langkah kerajaan negeri yang terlebih dahulu melantik panel penilai
bebas dan kemudiannya menyerahkan satu salinan laporan penilaian bebas
itu kepada kerajaan Persekutuan pada Jun 2016.
"Mengapa kerajaan Persekutuan ambil pendirian yang sama dengan kerajaan
negeri untuk melakukan penilaian bebas, tapi bila Deloitte dah siap
buat penilaian, angka itu disorok dan tak mahu dikongsi dengan kerajaan
negeri. Ini persoalannya," jawab Azmin.
Ogos lalu, Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata,
urusan pemerolehan Splash oleh kerajaan Selangor belum selesai dan
negeri itu belum menawarkan sebarang harga bagi proses
pengambilalihannya.
Ujarnya, rundingan antara kerajaan Selangor dan Splash mengenai nilai
pengambilalihan syarikat itu dibuat atas kerelaan penjual dan pembeli.
Menurut beliau, kementerian itu hanya menjadi pemudah cara proses berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan