Sabtu, 7 April 2018

PRU14: Zahid ingatkan polis bertindak profesional, jangan memihak

 
Timbalan perdana menteri berkata, perkara utama ialah keselamatan rakyat terjamin dan semua pihak diminta memberi kerjasama dengan tidak melakukan provokasi.




GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menjadi yang paling bersih dan aman pernah diadakan.

Zahid berkata, bagi mewujudkan keamanan sepanjang PRU14, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah memberi tumpuan kepada kawasan “flash point” dan “hotspot” yang dikenal pasti di seluruh negara.

“PDRM berhasrat biarpun kawasan itu dikenal pasti sebagai ‘flash points’ dan kawasan panas, kita tidak mahu sebarang kekacauan dilakukan. Kita minta jangan sampai ada perselisihan atau kekacauan yang mewujudkan keadaan ketidaktenteraman di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Zahid yang juga menteri dalam negeri melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, IPK yang terakhir dilawat menjelang PRU14 di seluruh negara.

Beliau turut mengingatkan PDRM tidak memihak kepada mana-mana pihak dan bertindak secara profesional dalam menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Secara keseluruhan PDRM telah bersiap siaga dalam menentukan semua fasa kesiapsiagaan diikuti sepenuhnya bagi menjamin keamanan dan keselamatan rakyat,” katanya.

Zahid berkata, perkara utama yang menjadi tumpuan ialah keselamatan rakyat keseluruhannya terjamin dan beliau memohon semua pihak memberi kerjasama dengan tidak melakukan provokasi.

Ditanya sama ada pihaknya memberi tumpuan kepada mana-mana negeri, beliau berkata, tiada tumpuan untuk negeri tertentu, sebaliknya segala tindakan berasaskan laporan risikan yang diterima serta berdasarkan pilihan raya umum lepas.

“Semua negeri tak kira di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) atau pembangkang akan diberi perhatian yang sama berdasarkan ‘flash points’. Negeri yang dikuasai BN pun ada ‘flash points’.”

Dalam pada itu, Zahid meminta semua pihak menghormati logo yang digunakan parti bertanding pada PRU14 dan tidak menurun atau merosakkan bendera parti sepanjang tempoh berkempen.

“Jika ada parti yang menukarkan lambangnya kepada satu lambang untuk kegunaan bersama ataupun jika parti itu tidak boleh menggunakan lambang parti berkenaan, tetapi menggunakan lambang yang sama kita harus hormati.

“Saya tidak mahu kejadian menurun, mengoyak atau merosakkan mana-mana bendera parti. Kita harap jentera parti melakukan pemantauan dan pihak polis akan membantu supaya kejadian provokasi seperti ini tidak berlaku di mana-mana tempat,” katanya.

Terdahulu, Zahid dalam ucapannya memberi jaminan PDRM akan bertindak profesional mengikut fasa proses pilihan raya bagi menjaga keselamatan rakyat dan negara.

“Polis perlu laksanakan ‘kecacatan sifar’. Saya tak nak ada sebarang kecacatan. Rakyat harapkan kita dan kita mesti lakukan kerja bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pegawai dan anggota polis mengawal emosi dalam menjalankan tugas memandangkan kemungkinan ada pihak yang akan mempertikaikan mereka dalam melaksanakan tugas menegakkan undang-undang.

Zahid berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat dari segi politik, tetapi dalam soal keselamatan negara, semua pihak perlu bersatu.

“Saya minta rakyat beri kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjalankan tugas sepanjang pilihan raya,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk menaik taraf IPK Pulau Pinang dan RM1 juta kepada semua ibu pejabat daerah di negeri ini.

Tiada ulasan: