Isnin, 23 April 2018

PRU14: 16 bekas ahli mahu sabotaj Umno

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
SHAH ALAM: 16 bekas ahli Umno yang memfailkan semakan kehakiman memohon terhadap parti, sengaja mahu mensabotaj Umno diambang kehangatan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin hampir.
 
Ketua Bahagian Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata pemecatan 16 ahlinya itu bukan sahaja tidak menggugat persediaan Umno menjelang tempoh penting ini, malah menyifatkan ianya sebagai satu tindakan wajar diputuskan pimpinan parti. 
 
"Perbuatan mereka seolah-olah satu tindakan sebotaj dan khianat kepada Umno sewaktu PRU14 semakin hampir.
 
"Pemecatan 16 ahli Umno bukan isu besar yang boleh menggugat persediaan parti untuk menghadapi PRU14.
 
"Pada hemat saya, tindakan sedemikian memang wajar kerana mereka yang terbabit secara jelas melanggar peraturan parti yang melarang ahlinya membawa apa juga masalah ke mahkamah," katanya dalam satu kenyataan kepada Antarapos. 
 
Katanya, individu berkenaan seharusnya berurusan dengan pimpinan parti menerusi saluran dalaman yang ada dan bukannya secara ‘melulu’ membawa isu berkenaan ke mahkamah.
 
Sabtu lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan 16 individu yang memfailkan semakan kehakiman tersebut telah dipecat serta merta.
 
Malah beliau juga tidak menolak tindakan itu ‘didalangi’ pihak tertentu yang mahu merencatkan perjuangan Umno menghadapi pilihan raya. 
 
Sementara itu reaksi menyusul pemecatan itu, peguam PPBM yang mewakili mereka Haniff Khatri Abdulla berkata selain memohon pembubaran Umno, 16 individu berkenaan akan memfailkan prosiding menghina dan mencabar pemecatan mereka. 
 
Dalam pada itu, Syed Ali menyokong penuh tindakan pemecatan dibuat Tengku Adnan, mengikut Fasal 20.7 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian.
 
Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak membenarkan apa jua perkara parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan dan yang berkaitan dengan pentadbiran parti dibawa ke mahkamah, jelasnya. 
 
Sehubungan itu katanya, tindakan keatas 16 bekas ahli Umno berkenaan wajar dijadikan pengajaran kepada keseluruhan ahli parti, kira-kira 3 juta orang di seluruh negara. 
 
Terdahulu, 16 individu itu memfailkan semakan kehakiman bagi memohon Umno dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013.
 
Mereka mendakwa kelulusan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk Umno menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.
 
Sebelum ini, Tengku Adnan menjelaskan makluman RoS bertarikh 31 Oktober 2017 yang dialamatkan kepada pejabat Setiausaha Agung Umno membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi diadakan selewat-lewatnya pada 19 April tahun depan.
 
Jelasnya, RoS diberi kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan kuasa tambahan mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa pada 10 Jun 1988.
 
 
 

Tiada ulasan: