KUALA LUMPUR: PPBM memfailkan permohonan baru terhadap keputusan
Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menggantung parti itu selama sebulan
atas dakwaan melanggar Akta Pertubuhan dengan tidak memberikan dokumen
dikehendaki dalam tempoh ditetapkan.
Dalam satu semakan kehakiman yang difailkan Jumaat lalu, PPBM memohon
perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan RoS pada 5 April lalu,
dengan mendakwa ia menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan.
PPBM turut memohon injunksi mahkamah untuk menghalang RoS daripada
mengambil tindakan lanjut membatalkan pendaftaran parti berkenaan
sepenuhnya.
Parti itu juga mahu RoS memberi jawapan mengenai peruntukan yang dilanggar mereka sehingga menyebabkan PPBM digantung sebulan.
Setiausaha Agung PPBM, Datuk Shahruddin Md Salleh mengesahkan afidavit untuk permohonan semakan kehakiman itu.
Beliau berkata, keputusan Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim menggantung parti itu selama sebulan dibuat dengan niat jahat.
“JPPM tidak menyerahkan notis 30 hari itu kepada pemegang jawatan PPBM
seperti dikehendaki di bawah undang-undang,” katanya dipetik FMT.
Peguam PPBM, Rosli Dahlan berkata parti itu turut memfailkan sijil
kesegeraan atau “certificate of urgency” supaya kes itu didengar secepat
mungkin.
Pada 5 April lalu, RoS mengarahkan pembubaran sementara PPBM kerana
gagal mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusatnya serta
penyata kewangan parti itu setelah diarah berbuat demikian pada 28
Februari lalu melalui satu notis mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan
1966.
Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran
memulakan semakan kehakiman PPBM bagi mencabar keputusan RoS membubarkan
parti itu buat sementara.
Hakim, Datuk Kamaludin Md Said menolak permohonan kebenaran difailkan
parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu atas alasan arahan pembubaran
sementara yang dibuat JPPM di bawah Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966,
bersifat akademik.
Mahkamah itu memberitahu PPBM, ia patut mencabar JPPM mengikut Seksyen
14(5) Akta Pertubuhan yang memerintahkan pembubaran sementara parti itu
selama 30 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan