Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PKR belum memutuskan sebarang peruntukan kerusi kepada ADUN
Paya Jaras Khairudin Othman yang mengumumkan menyertai parti itu
semalam.
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar memaklumkan, nama bekas
setiausaha PAS Selangor itu masih belum dikemukakan ke pimpinan
tertinggi, sama ada dicalonkan atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
"Memang kita terima dia sebagai ahli PKR. Malam tadi dia telah serah
borang keahlian. Sekarang kita tengoklah macam mana adakah dia akan jadi
calon di kawasan itu.
"Belum lagi (kemuka ke peringkat tertinggi), itu ada prosesnya. Jadi
kita akan buat proses (sepatutnya)," katanya kepada Antarapos, hari
ini.
Khairuddin semalam menamatkan teka-teki berhubung pegangan politiknya
apabila mengumumkan secara rasmi mengumumkan keluar daripada PAS dan
menyertai PKR.
Menyifatkan penyertaannya itu adalah dengan kerelaan hatinya, disamping
mengambil kira kekuatan barisan kepimpinan kerajaan negeri yang
dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau kemudiannya menyerahkan kepada pucuk pimpinan PKR sama ada mahu
beliau terus pertahankan kerusi DUN Paya Jaras pada PRU14, atau tidak.
Penyertaan beliau, sekaligus menyumbang satu lagi kerusi dimenangi PAS
pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, kepada seterunya, Pakatan Harapan
(PH).
Sebelum ini dilaporkan, Amanah terus konsisten dengan pendirian mahu
bertanding di semua kerusi DUN disandang PAS, termasuk Paya Jaras.
Ketika ini, DAP menyandang 14 kerusi DUN Selangor, PKR (14), PAS (12), BN (12), Amanah (2) dan Bebas (2).
Mengulas lanjut Xavier berkata, penyertaan Khairudin ke dalam parti
reformasi itu memberi suntikan kekuatan buat PKR, terutama di Selangor.
"Memanglah dia beri kekuatan, sebab dia ADUN kawasan. Jadi dia ada kekuatan tersendiri," ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, Xavier juga mengulas berkenaan soal
rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) di Selangor yang dilaporkan
masih buntu.
Jelas Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya PH Selangor itu, rundingan
antara parti anggota gagasan berkenaan masih berjalan dan hampir
diselesaikan di peringkat negeri.
Sebelum ini dilaporkan, hanya berbaki enam kerusi di Selangor yang
gagal dimuktamadkan dalam rundingan agihan kerusi, meskipun tarikh
akhirnya telah dilanjutkan beberapa kali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan