Sabtu, 7 April 2018

Pengumuman bubar Parlimen tepat pada waktunya - Penganalisis

Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Percaturan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membubarkan Parlimen pada hari ini sangat tepat pada waktunya, kata penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian. 
 
Ujar Sivamurugan, Najib sudah pasti mencongak waktu yang terbaik berikutan umat Islam seluruh dunia bakal menyambut bulan Ramadan pada awal Mei depan.
 
Beliau menambah disamping melihat sentimen rakyat kini cenderung ke arah Barisan Nasional (BN), Najib tentunya enggan kempen pilihan raya berlangsung dalam bulan puasa.
 
"Pembubaran yang dilakukan pada 7 April ini adalah masa yang paling baik.
 
"Bermakna apa sahaja yang mahu dilakukan barangkali Perdana Menteri melihat ia harus dilakukan sebelum bermulanya bulan Ramadhan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Selain faktor bulan puasa, Najib juga mungkin memberi ruang untuk dua Rang Undang-undang (RUU) penting diluluskan di Dewan Rakyat, sebelum mengumumkan pembubaran itu.
 
RUU itu adalah Pindaan Akta Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya dan Akt Antiberita Tidak Benar - yang kini sudah diwartakan sebelum dikuatkuasakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
"Saya berpendapat PM merasakan sudah tiba masanya untuk mengadakan pilihan raya selepas beberapa perkara yang perlu diutamakan telahpun mendapat keputusannya. 
 
"Misalnya, kalau kita lihat daripada segi persempadanan semula telah pun diluluskan usul di parlimen dan kemudian Akta Berita Tidak Benar juga telah mendapat mandatnya dalam dewan rakyat dan seterusnya ke dewan negara," katanya.
 
Semalam, Najib mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini (7 April 2018).
 
SPR dijangka bermesyuarat pada awal minggu hadapan untuk menetapkan tarikh-tarikh penting - penamaan calon dan buang undi. 
 
Sivamurugan yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata kerajaan pimpinan Najib sudah menjalankan tanggungjawabnya sepanjang penggal ini dan kini tiba masanya rakyat pula berbuat demikian.
 
Beliau juga menasihatkan pengundi berdaftar agar memangkah parti yang sudah terbukti berhasil dalam membela nasib rakyat.
 
"Sepatutnya, apa yang telah direncanakan melalui kejayaan-kejayan dasar dan polisi yang telah beliau laksanakan itu sepatutnya menjadi kayu pengukur memandangkan kepimpinan yang berwibawa barangkali akan mempamerkan keputusan-keputusan atau keberhasilan yang baik dan saya percaya itu telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri.
 
"Bermakna bila pengundi akan memangkah pada hari pengundian, sepatutnya undian dilakukan secara rasional dan praktikal. Bukannya bersifat emosional yang boleh memberikan kesan ke atas apa yang telah beliau usahakan selama ini," katanya.
 
Pada PRU13, BN memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. 
 
Kerusi yang selebihnya dimenangi Pakatan Rakyat (PR) iaitu sebanyak 89 kerusi. 
 
Bagaimanapun gabungan PR terbubar selepas PAS memutuskan hubungannya dengan DAP (Jun 2015) dan PKR (Mei 2017) - selepas tidak lagi sependapat dalam banyak isu terutama pelaksanaan hudud di Kelantan. 


Tiada ulasan: