LANJUTAN daripada
komitmen PAS untuk memastikan bahawa ekonomi Malaysia akan kekal
kompetitif sekiranya PAS diberikan kepercayaan mengepalai kerajaan
selepas Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, Lajnah Ekonomi dan
Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandangan pasaran modal Malaysia
adalah elemen yang amat penting untuk merealisasikan komitmen tersebut.
Pandangan
kami ini adalah berdasarkan laporan terkini Suruhanjaya Sekuriti
Malaysia (SC) untuk tahun 2017, yang mana ianya menunjukkan peningkatan
dan kekal sebagai salah satu sumber pembiayaan utama untuk ekonomi
domestik.
Antaranya ialah pembiayaan melalui pasaran modal Malaysia
meningkat sebanyak 49% dalam tahun 2017 kepada RM146.6 bilion daripada
RM98.5 bilion setahun lalu.
Ini merangkumi RM132.11 bilion daripada
pasaran utama dan RM14.5 billion pasaran sekunder iaitu pengeluaran hak
dan “private placement”. Ianya juga menyaksikan
pasaran utama sebanyak RM124.9 billion adalah langganan bon dan sukuk
manakala RM7.2 bilion adalah penerbitan tawaran awam permulaan (IPO).
Angka-angka yang dinyatakan tersebut
telah menyumbang kepada saiz pasaran modal Malaysia iaitu pada angka
RM3.2 trilion setakat akhir 2017.
Kami amat yakin sekiranya PAS diberikan
kepercayaan oleh rakyat untuk membentuk kerajaan selepas PRU14 nanti,
prestasi pasaran modal Malaysia akan terus kekal kompetitif dan
diperkasakan ke arah membentuk eko-sistem ekonomi yang lebih dinamik.
Melalui wawasan untuk meletakkan ekonomi Malaysia dalam struktur yang
lebih mapan berasaskan input buruh, pasaran modal Malaysia juga akan
menjadi lebih berdaya tahan dengan adanya fundamental yang lebih kukuh.
Melalui pemerkasaan penglibatan rakyat
dalam aktiviti ekonomi selaku penggerak utama, rakyat akan lebih mampu
untuk terlibat dengan lebih aktif sebagai pelabur di dalam pasaran modal
Malaysia. Mengikut Bursa Malaysia, pada masa kini pelabur runcit
hanyalah pada sekitar 23% daripada pasaran modal Malaysia. Kami yakin
melalui strategi yang betul penstrukturan semula ekonomi dan dasar
percukaian, penglibatan pelabur runcit boleh ditingkatkan kepada 30%
dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Pada tahap 30% ini maka asas kepada
pasaran modal Malaysia akan lebih kukuh kerana sumber kecairan akan
datang daripada kepelbagaian portfolio pelabur yang lebih seimbang.
Sudah tentu ini memerlukan kerja keras
daripada sebuah kerajaan PAS yang telus, tabir urus cekap dan
berintegriti tinggi sebagaimana yang telah PAS buktikan daripada
pengalaman pentadbiran selama ini yang bebas daripada amalan rasuah.
Elemen ini amat instrumental kerana ianya mempengaruhi penarafan yang
akan diberikan oleh agensi-agensi terhadap pasaran Malaysia.
Penarafan
yang baik pula akan mempengaruhi secara positif profil risiko Malaysia
yang akhirnya akan menjadikan pembiayaan daripada pasaran modal Malaysia
lebih kompetitif.
Di samping pemerkasaan pelabur runcit,
kami juga berpandangan bahawa peranan pelabur asing tidak boleh
dikesampingkan kerana ianya juga portfolio penting dalam pelaburan
pasaran modal. Dari laporan SC saiz dagangan pelaburan asing dalam 2017
masih kekal dalam imbangan positif pada RM17.6 bilion.
Namun bagi
pelabur asing, apa yang penting adalah keyakinan kepada pasaran Malaysia
dan penarafan pasaran.
Kita harus belajar daripada pengalaman
lalu sepertimana yang berlaku dalam bulan Oktober 2017 yang mana
mengikut MIDF Amanah Investment Bank Berhad, pelabur asing telah menjual
sebanyak RM967.3 juta dana dalam minggu pertama Oktober 2017.
Ini
merupakan penjualan dana oleh pelabur asing yang berlaku secara
berterusan selama lapan hari dalam minggu tersebut, tempoh yang paling
panjang semenjak bulan Disember 2016. Fenomena spike sebegini harus dielakkan bagi menstabilkan pasaran.
Sebagai negara perdagangan (trading nation),
sekiranya tiada keyakinan oleh pelabur dan penarafan yang tidak
kompetitif, kos untuk pembiayaan di dalam pasaran Malaysia akan menjadi
lebih tinggi yang akhirnya akan menjejaskan pulangan kepada pelaburan.
Jadi secara asasnya, ianya adalah isu kepercayaan dan keyakinan.
Oleh itu kami yakin bahawa PAS akan
mampu mengurus semua sentimen pasaran ini dengan lebih baik dan penuh
berintegriti. Sudah tentu keutamaan adalah untuk menyelesaikan isu 1MDB
yang masih tertangguh sehingga kini. Penyelesaian segera kepada isu-isu
kontroversi ini akan mampu memulihkan keyakinan pasaran dan mengelakkan
pengaliran keluar modal asing secara besar-besaran di samping
mengukuhkan nilai Ringgit.
Komitmen ini adalah bukti PAS komited
untuk memastikan pasaran modal Malaysia akan terus utuh, Semua ini akan
dapat PAS rangkumkan melalui pentadbiran berasaskan prinsip Islam,
sebagaimana yang ditawarkan melalui Manifesto Malaysia Sejahtera.
MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan