Isnin, 9 April 2018

Nama Pok Ya Cong Codei dipaten

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus, 57, sudah mendapatkan Hak Paten terhadap nama Pok Ya Cong Codei sejak sebulan lalu bagi melindungi dan mengelakkan daripada disalah guna pihak lain.
 
Tindakan itu dibuat selepas mendapat nasihat rakan peguam apabila nama itu digunakan secara meluas oleh pihak lain bagi tujuan mengaut keuntungan, lapor BH Online.
 
"Sebaik watak dan telefilem Pok Ya Cong Codei diperkatakan ramai serta tular, saya dimaklumkan banyak pihak yang ambil peluang mempromosikan produk mereka menggunakan nama itu.
 
"Kalau bisnes kecil dan sekadar menjual topi atau baju T, saya anggap berkongsi rezeki kerana mereka juga membantu promosi. Tetapi, ada syarikat besar yang menggunakan nama itu tanpa mendapatkan persetujuan terlebih dahulu.
 
"Peguam yang saya kenali menasihatkan saya supaya memohon Hak Paten kerana bimbang ia disalah guna dan tidak mahu nanti saya pula yang dipersalahkan," katanya pada sidang media selepas pelantikannya sebagai duta Umrah Cong Codei bersama Pok Ya, hari ini.
 
Telefilem Pok Ya Cong Codei menjadi tular selepas disiarkan pada Januari lalu gara-gara nama Hotel Concorde disebut Pok Ya sebagai Cong Codei hingga menjadi ikutan penonton.
 
Selain Sabri yang membawa watak 'gedebe' bernama Pok Ya, kisah mencuit hati itu turut dibintangi Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikry Ibrahim.
 
Sebutan nama hotel yang lucu dan menjadi 'trending' di laman sosial itu turut menarik minat Richworld Travel & Tours untuk memperkenalkan pakej umrah berserta ziarah dengan menginap di Hotel Concorde Makkah dan Madinah.
 
Mengulas undangan yang diterimanya itu, Sabri memaklumkan, pakej umrah yang lengkap dengan program khatam al-Quran dan majlis tahlil membuka hatinya untuk menjalin kerjasama.
 
"Sebagai penggiat industri kreatif, selama ini saya tidak terfikir soal bisnes. Sejak Pok Ya tular, ramai yang mengajukan tawaran kepada saya untuk menjadi duta produk.
 
"Namun, saya tergerak hati untuk bersama Richworld Travel disebabkan mereka menonjolkan Pok Ya, bukan Sabri Yunus," katanya yang pernah mengerjakan umrah pada tahun 2009.
 
 

Tiada ulasan: