Sabtu, 21 April 2018

Jangan jual undi , ingat pesan tok guru - kata Tuan Ibrahim

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan pengundi di Kelantan agar tidak 'menggadai' undi semata-mata kerana sogokan yang diberikan parti pembangkang di negeri berkenaan.
 
Sebaliknya beliau menegaskan pengundi perlu berpegang teguh kepada ungkapan yang sering dilontarkan bekas Menteri Besar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
"Di Kelantan ada dua perkara utama iaitu bila BN menganggap apabila mereka mengenakan tekanan maka rakyat Kelantan akan berubah seperti pembangunan tak diberi, lebuh raya tak dibuat tapi sebenarnya masyarakat Kelantan tidak akan berubah.
 
"Yang keduanya yang tok guru sebut orang beri barang dan sebagainya sebab rakyat Kelantan diajar supaya jangan gadai prinsip perjuangan dengan kebendaan," katanya kepada Antarapos.
 
Ini kerana menurut Tuan Ibrahim, legasi pentadbiran Islam di bawah PAS perlu dipertahankan dan jangan sesekali menjual undi hanya kerana wang ringgit yang ditawarkan kepada mereka.
 
"Ya (perlu dipertahankan)," katanya.
 
Selain itu ujar Tuan Ibrahim, masa depan pengundi adalah lebih bernilai berbanding dengan wang ringgit yang cuba disogokkan dan keutamaan perlu diberikan semasa hari pengundian pada 9 Mei depan.
 
"Sebab nilai benda yang diberi itu hak rakyat dikembalikan semula jadi kita ambil tapi dari segi maruah parti dan undi tetap kita pertahan.
 
"Jadi saya rasa Kelantan sudah biasa dengan soal itu dan tidak akan terpengaruh dengan apa yang disogok kepada mereka," katanya.
 
PAS ialah kuasa politik paling dominan di Kelantan sejak Pilihan Raya Umum 1990 sehingga sekarang dan tidak dapat dinafikan PAS mempunyai pengaruh kuat di Kelantan khususnya ketika pentadbiran Kelantan di bawah pimpinan Nik Abdul Aziz yang menjadi Menteri Besar (1990 hingga 6 Mei 2013).
 
Beberapa perkembangan politik berlaku selepas pemergiannya bermula PAS keluar Pakatan Rakyat disusuli pergolakan dalaman PAS sehingga terbentuk Amanh sementara Pakatan Harapan (PH) menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PPBM  pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai PH.
 
Pada PRU14 ini PAS bakal berdepan cabaran BN dan PH yang buat kali pertama diketuai Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Ahmad Yakob merangkap Menteri Besar bagi menempuh pilihan raya umum kali ini.
 
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata beliau yakin pengundi di Kelantan bijak membuat pilihan mereka dan tidak mudah terjebak dengan tawaran sedemikian.
 
"Kalau kita lihat Kelantan ini negeri yang kita bina berasaskan ilmu, maknanya masyarakat Kelantan boleh menilai tentang apa yang telah kita laksanakan di sana sebagai contoh perubahan ekonomi yang berlaku termasuk kepesatan pembangunannya, belanjawan yang telus bajet dan kemampuan urus tadbir negeri.
 
"Itu di antara beberapa faktor yang mampu menyumbang kepada kekuatan PAS dan yang kedua dari segi masyarakat Kelantan yang berilmu yang mana perubahan itu berasaskan ilmu bukan berdasarkan emosi," katanya.
 
Untuk rekod dari segi bilangan kerusi DUN melalui PRU13 lalu, PAS mendapat 31 kerusi DUN (seorang anggota DUN keluar, iaitu anggota DUN Salor dan menjadi anggota Amanah) berbanding 45 kerusi keseluruhan.
 
 

Tiada ulasan: