MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk terus
bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang
dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Beliau membayangkan tiada masalah untuk memikul dua tanggungjawab sekali gus.
Bagaimanapun katanya, perkara itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti iaitu Majlis Syura Ulama untuk membuat keputussan.
“Sekiranya diberi mandat, saya akan terus bertanding, namun terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.
“InsyaAllah saya akan ikut arahan parti. Kalau parti suruh bertanding
di mana, saya akan bertanding. Tapi asalkan tempat ada orang,”
selorohnya.
Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu
Rendang memberitahu demikian kepada pemberita ketika ditemui di
kediamannya di Rusila, di sini hari ini.
Menjawab satu soalan, Presiden PAS itu berkata, kedudukan anaknya,
Muhammad Khalil Abdul Hadi selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat sama ada
bertanding atau tidak juga diserahkan kepada parti.
“Perkara yang melibatkan calon, kita serah semuanya kepada parti. Kalau parti suruh bertanding, kita bertanding,” ujarnya.
Menurut Abdul Hadi, PAS akan mengumumkan calon-calonnya selepas
pengumuman tarikh PRU-14 dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan