Rabu, 11 April 2018

Gesaan isytihar 9 Mei cuti umum semakin kuat



GEORGE TOWN: Dua badan utama yang mewakili pekerja menggesa kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai cuti umum memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung pada tarikh tersebut.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata peluang yang sama harus diberikan kepada pekerja dari sektor awam dan sektor swasta untuk keluar mengundi pada 9 Mei.

“Cuti ‘ad hoc’ untuk kakitangan awam sahaja tidak mencukupi kerana pekerja di sektor swasta juga perlu keluar mengundi.

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini. Ini akan membolehkan semua pekerja dan majikan yang mendaftar sebagai pengundi dapat memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon pula mempertikaikan mengapa SPR tidak menetapkan hari mengundi pada hujung minggu, sedangkan mereka boleh menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal pada Sabtu.

“Dengan pelbagai kesusahan yang dihadapi para pekerja hari ini, langkah ini pasti membuat pengundi lebih marah kepada pihak berkuasa.

“Memilih pertengahan minggu sebagai hari mengundi pasti melibatkan perjalanan oleh sejumlah besar pengundi, yang harus kembali ke pusat pengundian.

“Di samping itu, mereka juga mungkin perlu membawa ahli keluarga terdekat bersama mereka. Ini pasti akan menyebabkan kesesakan lalu lintas pada pertengahan minggu ini,” katanya.

300,000 rakyat Sabah boleh terlepas peluang

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata mengumumkan 9 Mei sebagai cuti umum akan memastikan jumlah keluar mengundi yang lebih besar dan membolehkan mereka dari luar kawasan pulang untuk membuang undi.

Beliau berkata SPR bercanggah dengan seruan menyeru rakyat keluar mengundi apabila menyukarkan mereka berbuat demikian.

“Apa salahnya adakan pilihan raya pada Sabtu, seperti yang dilakukan selama ini? Siapa yang menjadi pengawal selia SPR, rakyat atau Barisan Nasional?” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shafie, sehingga 300,000 rakyat Sabah, kebanyakannya pengundi berdaftar, tetapi bekerja di Lembah Klang, terpaksa melepaskan peluang mengundi dan ini tidak adil.

“Pada pilihan raya lepas, kerana pengundian dijalankan pada Sabtu, kira-kira 100,000 pengundi dapat pulang ke Sabah untuk mengundi.

“Hari ini, SPR mengecewakan pengundi kerana mereka memilih 1 hari di tengah-tengah minggu untuk membuang undi.”

Beliau juga mempersoalkan keperluan pengundian awal (untuk anggota tentera dan polis serta pengundi yang tinggal di luar daerah mengundi) yang akan diadakan pada 5 Mei, 6 hari sebelum hari pengundian sebenar.

Beliau berkata keselamatan undi tersebut boleh dikompromikan.

Shafie mempersoalkan sekiranya undi awal akan disimpan di tempat yang selamat dan terjamin untuk menghalang mereka yang mempunyai kepentingan diri daripada mengganggunya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Tiada ulasan: