ARAU: Tun Dr Mahathir Mohamad takut kalah di Parlimen Kubang Pasu dan
atas sebab itulah beliau memilih bertanding di Parlimen Langkawi pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Itu kesimpulan yang dibuat Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad ketika
mengulas pengumuman Pakatan Harapan (PH) bahawa pemimpin berusia 93
tahun itu akan berentap di kerusi Langkawi 9 Mei depan.
Selepas menyertai pembangkang, Dr Mahathir memilih untuk bertanding di
kerusi 'selamat' sekali gus meninggalkan kerusi Kubang Pasu yang
diwakilinya sejak 1974.
“Dia (Dr Mahathir) memilih Langkawi kerana tidak yakinlah bertanding di
Kubang Pasu, tempat dia sendiri. Apa-apa pun, itu hak dia, kita tidak
mahu pertikai,” katanya ketika ditemui selepas program soal jawab ‘anda
tanya PAS jawab’ di Guar Sanji di sini malam tadi.
Beliau sebelum itu diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir untuk
bertanding di Parlimen Langkawi sekali gus mungkin akan tersenarai
sebagai calon tertua dalam PRU14.
Pencalonan ahli politik berusia 93 tahun itu sememangnya sudah dijangka
bagi membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri sementara jika gabungan
pembangkang PKR itu memenangi PRU14.
Dalam perkembangan berkaitan, Idris berkata, tindak-tanduk Dr Mahathir
yang sering menyerang PAS adalah disebabkan rasa dendam bekas Perdana
Menteri itu selepas PAS tidak mengikut telunjuknya.
Katanya, Dr. Mahathir juga menyimpan rasa dendam itu selepas pernah
tewas kepada calon parti itu dalam pilihan raya umum pada tahun 1969.
“Dia marah dengan PAS sebab dia tidak boleh membentuk PAS selain PAS
tidak mengikut telunjuknya ketika semua parti lain dalam pembangkang
tunduk.
“Seperti biasa, Dr Mahathir ini tidak boleh orang sekat kemahuannya.
Sifatnya, dia mesti capai kemahuan, siapa tidak ikut akan menjadi
musuh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan