Rabu, 11 April 2018

Dr Mahathir minta maaf kerana mahu undi orang India

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keikhlasan permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad dipertikai Naib Presiden MIC, Senator Datuk T. Mohan.
 
Ini kerana katanya kemaafan itu dilakukan hanya disebabkan oleh desakan daripada pelbagai pihak, selain mahu mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat India untuk mengundi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Kita boleh tengok, inilah perangai sebenar Tun Dr Mahathir.
 
"Apa yang saya tengok, permohonan maaf yang dilakukan bukan di atas niat yang ikhlas, tapi atas desakan dari semua pihak.
 
"Hal ini kerana perkataan itu sensitif buat masyarakat India.
 
"Dari pandangan saya, Tun Dr Mahathir minta maaf adalah hanya untuk mendapatkan undi masyarakat India," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Sabtu lalu Mahathir Mohamad didakwa menggunakan perkataan 'keling' ketika mengulas PH perlu mendapatkan kebenaran SPR menggunakan satu logo yang sama bagi PRU kali ini.
 
Dalam kritikannya terhadap SPR, Dr Mahathir berkata: "Saya nak guna perkataan keling. Orang keling kata, 'podah'.
 
Bukan itu saja, Mohan berkata umum mengetahui perangai Dr Mahathir yang sebelum ini sering merasakan dirinya sahaja yang betul.
 
"Saya ingat inilah kali pertama (Dr) Mahathir Mohamad meminta maaf secara umum.
 
"Bagi seseorang yang berlagak dan apa yang dikatakan semuanya betul, ini kali pertama saya dengar beliau meminta maaf," jelas beliau.
 
Dr Mahathir sebelum ini cuba menambat hati masyarakat India dengan mengaku mengabaikan kaum itu ketika beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
 
Justeru beliau berjanji untuk memberikan perhatian yang lebih kepada kaum India dan kaum minoriti yang lain jika PH berjaya menakluk Putrajaya pada PRU14.
 
 

Tiada ulasan: