Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
SHAH ALAM: Bekas pengasas PPBM Kamarulazman Habibur Rahman menyelar
tindakan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila sekali lagi
mengheret Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) ke mahkamah.
Ujar beliau, tindakan PPBM itu didakwa hanyalah sandiwara Dr Mahathir
dalam meraih simpati masyarakat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Selain mahu mengaburi mata pengundi untuk menyalahkan kerajaan yang
sengaja mengambil tindakan untuk tidak membenarkan PPBM bertanding,
dakwa Kamarulazman.
"Tapi kita lihat ini adalah salah satu strategi untuk meraih simpati dari pihak Tun (Mahathir).
"Dengan ini, dia (Mahathir) boleh mengatakan PPBM menjadi mangsa kepada RoS, Umno dan BN.
"Ini adalah salah satu cara, Tun meraih simpati daripada masyarakat Malaysia bahawa rakyat akan simpati kepada parti ini.
"Pada pandangan Tun, rakyat yang simpati bakal mengundi PH," katanya kepada Antarapos.
Semalam, PPBM memfailkan permohonan baru terhadap keputusan RoS yang
menggantung parti itu selama sebulan atas dakwaan melanggar Akta
Pertubuhan kerana tidak memberikan dokumen dikehendaki dalam tempoh
ditetapkan.
Dalam satu semakan kehakiman yang difailkan Jumaat lalu, PPBM memohon
perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan RoS pada 5 April lalu,
dengan mendakwa ia menyalahgunakan Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan.
Selain itu, PPBM turut memohon injunksi mahkamah untuk menghalang RoS
daripada mengambil tindakan lanjut membatalkan pendaftaran parti
berkenaan sepenuhnya.
Parti itu juga mahu RoS memberi jawapan mengenai peruntukan yang dilanggar mereka sehingga menyebabkan PPBM digantung sebulan.
Kamarul berkata, adalah lebih baik PPBM seharusnya fokus kepada langkah
memenangi PRU dan bukan membazirkan masa dengan perkara yang tidak
penting.
"Ianya suatu perkara yang tak perlu pada ketika kempen PRU rancak berjalan.
"Sepatutnya tumpuan diberi kepada langkah-langkah untuk memenangi pilihan raya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
PPBM yang diisytihar bubar sementara oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan
(RoS) pada 5 April telah memutuskan menggunakan logo PKR untuk
bertanding PRU14 seperti yang diputuskan Pakatan Harapan (PH).
Parti itu dibubar sementara menurut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan
ekoran kegagalan PPBM menyerahkan sepenuhnya dokumen yang diperintahkan
di dalam tempoh yang diberikan sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan