Khamis, 15 Februari 2018

Penjual kereta Melayu mahu dana AP bantu naik taraf pusat Proton

 
Pekema meminta 40% daripada RM3 bilion kutipan APdiagihkan kepada pengedar Proton.


Zainuddin-Abd-Rahman_proton_new_600


CYBERJAYA: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) meminta kerajaan membenarkan wang hasil kutipan fi permit import (AP) yang dikumpulkan dalam Dana Automotif Bumiputera (DAB) digunakan sebagai pinjaman mudah untuk pengedar Proton menaik taraf outlet masing-masing.

Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd Rahman berkata wang dalam dana tersebut yang dikumpulkan sejak 2010 dengan kadar RM10,000 bagi setiap satu AP, kini sudah mencecah RM3 bilion.

“Antara syarat yang dipersetujui sebelum ini ialah 20% daripada wang tabung itu untuk membantu Institut Automotif Malaysia bagi pembinaan kapasiti, 40% untuk ahli Pekema membesarkan perniagaan dan 40% lagi untuk membantu Bumiputera yang terlibat dalam industri automotif.

“Oleh itu, pada masa ini Pekema meminta 40% daripada RM3 bilion iaitu RM1.2 bilion dibenarkan untuk diagihkan kepada pengedar Proton sebagai pinjaman mudah pada kadar faedah tidak melebihi 4%,” katanya kepada pemberita di Wisma Yayasan Pekema di sini hari ini.

Zainuddin berkata cadangan berkenaan akan dibangkitkan dalam perjumpaan antara pengedar Proton bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed esok.

Proton sebelum ini menggesa pengedarnya untuk menaik taraf pusat jualan mereka kepada outlet 3S (jualan, servis dan alat ganti) di seluruh negara untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pengenalan beberapa model baharu pada tahun ini. Tempoh masa yang diberikan adalah sehingga 2020.

Ketika ini, outlet 3S/4S di seluruh negara hanya sebanyak 30% dan 70% adalah kemudahan 1S (jualan) di mana pengedar hanya menjual kenderaan tanpa menawarkan sebarang perkhidmatan selepas jualan.

Tahun lepas, Geely Automobile Holdings Ltd dari China menjadi rakan kongsi strategik asing Proton bagi memantapkan lagi pertumbuhan pengeluar kereta nasional itu.

Geely dan Proton dijangka melancarkan SUV pertama iaitu Boyue pada akhir tahun ini. Difahamkan, hanya pengedar Proton yang memiliki outlet 3S akan dibenarkan menjual model tersebut pada hujung tahun ini.

Mengulas mengenai Geely, Zainuddin menjelaskan Pekema tidak bermaksud untuk membantah Geely.

“Bukan kita (Pekema) tidak sokong Geely. Rekod prestasi Geely memang bagus yang telah membangunkan Volvo sehingga mencatatkan keuntungan 1 bilion pound. Pekema percaya Proton juga akan jadi begitu (seperti Volvo) satu hari nanti.

“Namun, Geely perlu lebih jelas dengan pengedar Proton mengenai aspirasinya. Diharap Geely tidak terlalu mendesak dan tidak mengeluarkan arahan secara ‘top down’ tanpa berbincang dengan pengedar,” tambah beliau.

Tiada ulasan: