BINTULU: Bunyi bising dari dalam lubang sebatang kayu balak di kawasan
belukar Sungai Kelawit, di sini, membawa penemuan seekor ular sawa
betina bersaiz gergasi.
Mendapat jolokan 'Anaconda Sarawak', reptilia itu dengan berat melebihi
100 kilogram, ditemui kira-kira jam 4.45 petang oleh seorang pemburu di
kawasan terbabit, selepas curiga dengan bunyi bising berkenaan.
Tertarik dengan bunyi bising itu, Tinsung Ujang, 60, kemudian menjenguk
ke dalam lubang kayu terbabit dan terkejut melihat ular sawa gergasi
sedang mengawan dengan seekot ular sawa jantan yang lebih kecil saiznya.
"Saya terkejut kerana tidak pernah ternampak ular sawa sedang mengawan
iaitu sawa betina gergasi sepanjang lima meter, manakala pasangannya
seekor ular sawa jantan bersaiz agak kecil.
"Ia luar biasa itu dan saya terus menembak kedua-dua reptilia itu
kerana bagi masyarakat kami, ia hidangan eksotik yang menjadi lauk
kegemaran," katanya ketika ditemui petang tadi.
Bagaimanapun, katanya, saiz reptilia itu yang agak besar dan berat
menyukarkannya membawanya pulang ke rumah sebelum meminta bantuan
beberapa rakan.
"Kami terpaksa 'membelah' kayu balak itu untuk mengeluarkan kedua-dua ular sawa berkenaan," katanya.
Tinsung berkata, ular sawa itu kemudian dibawa keluar dari kawasan
belukar itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) sebelum
dipamerkan ke penduduk setempat.
"Ia kemudian dilapah dan dagingnya dibahagikan sama rata kepada penduduk kampung serta pekerja ladang berhampiran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan