JOHOR BAHRU: Ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kampung Bakar Batu, Johor
Bahru malam tadi terpaksa dibatalkan selepas menerima bantahan daripada
penduduk tempatan.
ADUN Stulang Andew Chen Kah Eng menuduh gangguan itu berpunca daripada Umno dan BN.
"Umno BN telah salah gunakan kuasa mereka sebagai kerajaan untuk
menakutkan orang supaya tidak beri ruang kepada kita untuk bertemu
dengan rakyat," kata Chen dalam sidang akhbar yang disiar menerusi
Facebook dari sebuah kedai makan di Kampung Bakar Batu.
Turut hadir ialah Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang,
Setiausaha HARAPAN Johor, Osman Sapian dari BERSATU dan Ketua Penerangan
PKR Johor, Akmal Nasir.
Jeritan kemarahan boleh didengar ketika sidang media itu dirakamkan.
Osman mendakwa beliau menghadapi gangguan yang sama oleh pemuda yang memakai baju biru sebelum ini.
"Kalau baju biru, siapa dia. Iaitu orang Barisan Nasional. Pemuda Umno, Pemuda Barisan Nasional," katanya.
Ketika Osman bercakap dalam sidang media itu, seorang lelaki tua yang memakai kopiah putih menyampuk dengan suara yang kuat.
"Tolong jangan lebih-lebih. Cukup. Jangan libatkan Umno, saya tak suka.
Jangan guna isu politik mengatakan Umno. Saya penduduk kampung," kata
lelaki itu yang bertegang leher dengan Osman.
Keadaan kemudian menjadi semakin tegang dan seorang pemuda memakai topi
biru memberitahu pemimpin PH untuk "relaks" dan "kita tak nak kecoh".
Selepas kekecohan itu reda, kamera diarahkan kepada Lim, yang enggan
memberi komen sehingga mendapat penjelasan daripada Anggota Parlimen
Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad.
Kumpulan itu kemudiannya beredar dengan aman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan