Rabu, 14 Februari 2018

Pemandu traktor mesin rumput bebas dengan jaminan polis

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
TAMPIN: Pemandu traktor mesin rumput yang dipercayai menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman dekat Gemas di sini, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
 
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Abd Razak, siasatan awal terhadap lelaki berusia 26 tahun itu mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian Nur Afini Roslan, serta dua murid lain yang cedera.
 
Bagaimanapun ujarnya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 304, Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.
 
"Siasatan meliputi pelbagai sudut termasuk melihat bagaimana bilah pisau mesin rumput daripada traktor berkenaan boleh patah.
 
"Selain itu, kita menyiasat bagaimana lantunan mata bilah berkenaan boleh sampai kepada mangsa yang berada pada jarak agak jauh," katanya ketika dihubungi, hari ini.
 
Dalam pada itu katanya, polis akan bekerjasama dengan agensi yang berkepakaran berhubung isu itu termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Forensik bagi meneliti punca kejadian.
 
Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, menjalani latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah yang sepatutnya berlangsung hari ini.
 
Ketika mereka berada di padang sekolah, jentera berkenaan pada masa sama menjalankan aktiviti memotong rumput sebelum mata bilah terpelanting dan terkena mangsa.
 
Berikutan kejadian itu, Nur Afini mati di lokasi selepas kepalanya terpotong dua, manakala Abdullah cedera di telinga kanan dan Mohd Farhan Reza cedera di belakang kepala.
 
 

Tiada ulasan: