Rabu, 14 Februari 2018

Majlis Presiden PH sedia bantu selesai masalah agihan kerusi negeri

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk 'campur tangan' dan memberikan bantuan kepada mana-mana negeri yang masih gagal memuktamadkan rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu bagi mengelakkan permasalahan berkenaan terus membelenggu gabungan itu sehingga mampu memberikan kesan kepada persediaan untuk PRU nanti.
 
"Ada negeri yang dapat selesaikan sebahagian, bagus, tetapi kalau mereka kata mereka tidak dapat selesaikan dan memerlukan penglibatan 'team' rundingan nasional untuk membantu menyelesaikan masalah, itu juga tidak jadi masalah," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran tabung derma PPBM, di ibu pejabatnya , di sini hari ini.
 
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat PH Kelantan yang ingin membawa masalah berkaitan pembahagian kerusi DUN antara parti komponen negeri itu yang menemui jalan buntu.
 
"...Sebagai contoh di Kelantan, (mereka) memaklumkan kepada Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu bahawa kami sudah berunding kerusi, sudah selesai agihan kerusi yang berbaki ini tidak dapat selesaikan kerana proses rundingan agak begitu hangat dan sebagainya, maka minta supaya pusat menguruskannya, maka pusat akan duduk bersama-sama dengan negeri untuk menyelesaikan rundingan.
 
"Itu keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH, bukan sahaja di Kelantan, kalau negeri lain juga memerlukan kerjasama, campur tangan atau bantuan team nasional untuk berunding melibatkan pemimpin-pemimpin yang ada di peringkat pusat, itu kami alu-alukan.
 
"Saya fikir wajar supaya ia tidak tertangguh sampai ke suatu peringkat ia tidak dapat diselesaikan, ini akan membawa kepada satu kesulitan kepada parti-parti di dalam PH," katanya lagi.  
 
PH Kelantan sebelum ini dilaporkan gagal menyelesaikan masalah pertindihan bagi 14 kerusi DUN walaupun sudah enam kali mengadakan pertemuan, sehingga melepasi tempoh asal yang ditetapkan. 
 
Antaranya sembilan kerusi melibatkan pertindihan antara Amanah dan PPBM, tiga kerusi menjadi rebutan antara Amanah dan PKR dan dua kerusi antara PPBM dan PKR.
 
Selain Kelantan, Selangor juga masih gagal memuktamadkan soal rundingan kerusi sehingga ke hari ini.
 
 

Tiada ulasan: