Isnin, 12 Februari 2018

Noh gesa Azmin jelaskan pembatalan projek Rumah Selangorku

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor didesak memberi penjelasan punca sebenar pembinaan sembilan projek Rumah Selangorku dibatalkan.
 
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, setakat ini kenyataan berhubung pembatalan projek berkenaan adalah bercanggah antara Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar A Samad dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
“Exco dalam kenyataannya berkata kelulusan projek itu dibatalkan kerana pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam dua tahun daripada tarikh kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
 
“Menteri besar pula menyalahkan pemaju kerana mengutamakan projek perumahan kos sederhana dan mewah, jadi soalan saya apa sebenarnya punca pembatalan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Bagan Pasir Penambang, hari ini.
 
Pada Selasa lepas, Iskandar yang juga merupakan ADUN Chempaka dilaporkan berkata, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku membatalkan 9 projek rumah berkenaan yang diluluskan antara 2014 hingga 2016, setelah pemaju gagal mendapatkan kebenaran MMKN.
 
Projek berkenaan melibatkan tiga projek di Kajang, dua projek di Selayang dan masing-masing satu projek di Subang Jaya, Shah Alam, Ampang Jaya dan Klang.
 
Noh berkata pembatalan projek berkenaan menunjukkan kerajaan pimpinan PKR hanya tahu memberi harapan kepada rakyat tapi tidak akan menjadikan ia kenyataan.
 
“Di sini rakyat boleh menilai janji PKR dan Pakatan Harapan dan janji BN, Projek Perumahan Rakyat yang dilaksanakan kerajaan persekutuan BN banyak disiapkan tanpa ada yang dibatal dan dijual pada harga murah.
 
“Dibandingkan dengan Rumah Selangorku yang mahal, dan ada yang dibatalkan, rakyat boleh menilai kerajaan mana lebih mengutamakan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, bagaimana pula dengan nasib mereka yang diluluskan pinjaman pihak bank untuk membeli rumah ini tetapi projek itu dibatalkan, apakah tindakan kerajaan negeri,” katanya.
 
Terdahulu, pada majlis itu, seramai 3,800 ketua rumah meraikan Tahun Baharu Cina menerima sumbangan berupa barangan dapur dan wang tunai.
 
Turut hadir ADUN Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak.
 
 

Tiada ulasan: