Isnin, 12 Februari 2018

Hanya Azmin yang politikkan isu Stadium Shah Alam - Ismail

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah satu-satunya pihak yang dilihat cuba mempolitikkan isu penggunaan Stadium Shah Alam (SSA) sebagai gelanggang rasmi Liga Malaysia 2018, demikian kata Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.
 
Sambil mempertahankan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Ismail berkata tuntutan yang dibuat persatuan berkenaan adalah demi kegunaan pasukan bola sepak negeri, dan ia tidak melibatkan sentimen politik.
 
"Yang cuba mempolitikkan sukan bola sepak negeri Selangor adalah Azmin sendiri. Bukan dari kalangan FAS ataupun kelab penyokong-penyokong bola sepak Selangor.
 
"Yang timbul (isu) sekarang ini semua pemain bola, tiada satu orang pun ahli politik (Umno) yang sibuk untuk mengambil kesempatan. Bahkan kalau kita tengok, demonstrasi, protes, semua itu dari kelab penyokong Selangor," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Katanya, tuntutan FAS yang mahu menggunakan SSA sebagai tempat latihan dan gelanggang adalah berdasarkan kualitinya yang bertaraf antarabangsa.
 
Sehubungan itu, beliau menasihati supaya kerajaan negeri tidak mempolitikkan penggunaan Stadium negeri itu, demi kelangsungan pembangunan sukan Selangor.
 
"Bagi saya, Azmin sepatutnya menyelesaikan segera kerana isu sukan. Saya pun mengharapkan supaya pihak kerajaan negeri jangan mempolitikkan isu sukan ini kerana sukan ini disukai oleh semua peringkat. Sama ada dia Umno sama ada pakatan Harapan (PH), sama ada daripada Pakatan Rakyat (PR) mereka semua suka bola," ujarnya yang mahu kemelut penggunaan Stadium negeri itu segera ditamatkan.
 
Media sebelum ini melaporkan pasukan 'The Red Giants' dinafikan untuk beraksi di SSA susulan masalah dalaman antara FAS dengan kerajaan negeri sejak penghujung 2016.
 
Sejak itu, pasukan bola sepak itu tidak memiliki gelanggang rasmi dan terpaksa menumpang stadium lain.
 
FAS sebelum ini membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menjadikan SSA sebagai gelanggang rasmi sepertimana tradisi sebelum ini, namun belum mendapat maklum balas.
 
FAS juga membuat permohonan yang sama kepada Stadium Nasional Bukit Jalil dan terbaru ialah Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebagai gelanggang rasmi.
 
Biarpun FAS berjaya mendapatkan stadium lain sebagai gelangang rasmi, penyokong Selangor tetap mahukan pasukan bola sepak itu beraksi di SSA.
 
Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) mendesak FAS dan kerajaan negeri mengenepikan isu politik dan mengutamakan industri bola sepak negeri yang selama ini menjadi kebangaan rakyat Selangor.
 
Badan itu juga mendesak kerajaan negeri membenarkan SSA dijadikan gelanggang rasmi pasukan The Red Giants selewat-lewatnya dalam saingan pusingan ke-2 Liga Super 2018.
 
 

Tiada ulasan: