KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah mengesahkan menerima satu lagi
aduan berkaitan sejenis susu didakwa tiruan sehingga menyebabkan masalah
kesihatan kepada kanak-kanak atau bayi yang meminumnya.
Bagaimanapun, Pengarahnya, Datuk Christina Rundi, enggan mengulas lanjut dan menegaskan siasatan diteruskan.
"Setakat ini, ada sampel sudah diambil dan ada satu lagi aduan diterima dari daerah lain.
"Aduan diterima dari beberapa kawasan dan kita tidak akan mengulas
secara berasingan mengenai isu ini sehingga siasatan menyeluruh
dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Yahya Sujak, berkata
pihaknya sudah menghubungi individu yang mendakwa anak saudaranya
mengalami masalah kesihatan selepas minum susu itu, namun gagal
mendapatkan susu terbabit sebagai bahan bukti.
"Semalam, pegawai kita cuba berhubung dengan individu itu dan minta
penjelasan mengenai susu yang dibeli, namun mereka sudah membuangnya.
"Jika betul bahan bukti itu ada, kita akan bawa ke jabatan kimia untuk
dianalisis," katanya sambil meminta orang ramai mengelak menyebar
maklumat tidak sahih ke laman sosial, sebaliknya membawa bahan bukti
kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
Sebelum ini, seorang wanita memuat naik status di Facebook mendakwa
anak saudaranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan bengkak badan
selepas meminum susu dibeli dari sebuah pasar raya di Kota Belud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan