Oleh Ainor Rahim
PETALING JAYA: Jika Amanah merasakan partinya lebih berpengaruh, PPBM
tiada masalah untuk memberi laluan kepada parti berkenaan bertanding di
kerusi parlimen Kota Bharu sungguhpun berhasrat untuk meletakkan calon
di kerusi yang sama.
Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman berkata
jika diukur dari segi tahap kekuatan antara kedua-dua parti, PPBM
dilihat lebih kuat untuk dibandingkan dengan parti serpihan PAS itu.
“Saya nak mati di tempat saya juga, tapi Kota Bharu ini ada orang fikir
dia lebih hebat, jadi saya serahkan, saya sokong dari belakang.
“Amanah nak bertanding di Kota Bharu silakan. Saya alu-alukan dia sebab saya nak sokong dia.
“Dia mungkin betul dia kuat saya tidak tahu, tapi rasa saya saya pun
popular juga,” katanya dalam sidang media di Bangunan Yayasan Selangor,
Petaling Jaya sebentar tadi.
Abd Rashid berkata sokongan terhadap Amanah untuk bertanding di kerusi
Kota Bharu dilakukan atas semangat Pakatan Harapan (PH).
“Tetapi saya sebagai ketua saya taknak perpecahan. Saya kata kalau nak,
ambil kerusi ini. Berbaik sesama kita. Sebagai tanda kita ini bersatu
dan masing masing parti cuba sedaya upaya. Kita mungkin dapat satu
kerusi. Saya bukan jenis nak jadi calon. Saya nak tengok parti ini
disusun rapi dan boleh hadapi pilihan raya,” jelasnya.
Kerusi Kota Bharu dimiliki PAS menerusi calonnya, Datuk Takiyuddin
Hassan yang memenanginya pada PRU13 dengan majoriti besar 15,970
menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh
yang mendapat undi 24,650.
Sebanyak 81,268 pengundi Parlimen Kota Bahru pada PRU13, iaitu 83% daripadanya Melayu, 16% Cina dan India 1%.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Md
Noor tidak menolak kemungkinan beliau bertanding di kerusi parlimen
Pasir Puteh.
Namun katanya, keputusan muktamad bakal diputuskan oleh Majlis Presiden.
“PPBM akan meletakkan calon di situ. Belum diputuskan. Dari segi
disiplinnya yang buat pengumuman calon ni ialah presiden parti jadi kita
tunggu lah saya tidak mahu dilihat mendahului,” ujarnya ringkas.
Sebelum ini timbul desas desus mengatakan Kamaruddin yang juga Ketua Penerangan PPBM bakal bertanding di kerusi berkenaan.
Ini sekaligus mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan PAS, yang
disebut-sebut bakal meletakkan Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik
Muhammad Zawawi Nik Salleh.
Umno pula dikatakan akan meletakkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai calonnya di Pasir Puteh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan