Isnin, 5 Februari 2018

Jangan suburkan budaya jalang Pakaian pramugari ketat, singkat, mengghairahkan

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah


SAYA mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak berkuasa Aceh yang begitu berani menghantar surat ke syarikat penerbangan nasional negara itu, Garuda Indonesia dan syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia dan Firefly, supaya semua pramugari wajib memakai jilbab (tudung) bersesuaian dengan undang-undang syariah, jika mahu mendarat di Lapangan terbang Antarabangsa Banda Aceh terletak di dalam daerah Aceh Besar.

Kelonggaran hanya diberikan kepada pramugari bukan Islam. Mereka tidak wajib memakai tudung, tetapi mesti berpakaian sopan. Adakah ini bersikap seperti Taliban seperti yang dilabelkan ultra kiasu?

Berkaitan dengan isu ini juga, syarikat penerbangan bajet Vietnam, Vietjet, memohon maaf secara terbuka selepas menggunakan model seksi menyambut kepulangan skuad bola sepak bawah 23 negaranya dari China. Tindakan itu disifatkan sebagai pendekatan ‘murahan’ oleh rakyat Vietnam dan netizen seluruh dunia.

Dalam kata lain, orang bukan Vietnam bukan Islam pun berasa jijik dengan pakaian seksi dan mahukan hidup lebih bertamadun. 

Kenapa kita tidak sedemikian?

Syarikat penerbangan Vietjet baru-baru ini, menggunakan model berbikini berhias untuk menyambut dan menyertai kepulangan pasukan bola sepak dari China selepas kalah kepada Uzbekistan dalam Kejohanan Bola Sepak Persekutuan Konfederasi Asia (AFC) bawah 23 tahun.

Media sosial dan beberapa portal dalam talian berkongsi gambar aksi dalam pesawat, termasuk foto seorang penumpang lelaki muda dipeluk rapat seorang model yang hanya bercoli dan seluar dalam merah. Selain itu, turut didedahkan gambar model wanita yang berhias daripada kepala ke kaki berpakaian mendedahkan badan berjalan melayan penumpang sepanjang penerbangan itu.

Vietjet pada awalnya menyifatkan persembahan itu disusun khas untuk menyambut pemain pasukan bola sepak yang dianggap sebagai ‘wira negara’. Bagaimanapun, tindakan itu dikecam hebat oleh netizen yang menggambarkan ia sebagai aksi yang mencemarkan maruah dan penghormatan pemain negara itu.

Ini membawa kepada pengasasnya dan Ketua Pegawai Eksekutif Vietjet, Nguyen Thi Phuong Thao yang menjadi wanita billionaire Vietnam pertama pada 2016, mengeluarkan kenyataan memohon maaf dalam Facebooknya.

Lebih mengujakan lagi model dan DJ Lai Thanh Huong turut menyampaikan rasa kesal selepas mengambil bahagian dalam persembahan itu. Dia turut mendakwa berbuat demikian selepas menerima arahan Vietjet.

Untuk makluman, syarikat penerbangan Vietjet sebelum ini pernah menjadi tajuk utama akhbar dan media sosial selepas menggunakan kostum bikini untuk pramugari bagi pesawat terpilih.

Akibat daripada publisiti murah itu, ramai kalangan netizen mengancam untuk memboikot syarikat penerbangan itu selepas melihat gambar yang diviralkan. Ada pengguna Facebook berkata “anda mahu menamakan semula syarikat penerbangan Vietjet kepada ‘Vietjerk’, atau ‘Vietsex’?”.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam (CAAV) sudah pun mengeluarkan perintah saman bernilai 40 juta dong (AS$1,761) di atas tindakan itu. Malah, ketua krew turut disaman 4 juta dong (AS$176).

Yang amat menghairankan saya kenapa orang bukan Islam boleh memahami dengan baik perkara ini? Orang Islam sendiri membiarkan, malah bersekongkol dengan membiarkan sahaja pramugari mereka berpakaian seksi.

Lanjutan daripada artikel saya sebelum ini mengenai surat Dr June Robertson yang ditujukan kepada pramugari merah tambang murah, saya pun terus membuat perbandingan pakaian pramugari syarikat penerbangan seluruh dunia. Memang ternyata, tidak ada uniform seseksi pramugari merah kita.

Boleh dikatakan semua syarikat penerbangan, skirt mereka berada di bawah paras lutut dan dada mereka tertutup sopan. Kenapa pramugari merah begitu singkat dan ketat sehingga boleh menampak seluar dalam? Saya terus mencari jawapan. Apakah kita mahu menghidupkan budaya jalang?

Ada orang berkata don’t judge a book by its cover. Tetapi itu buku. Ini bukan buku, tetapi soal maruah wanita atau perempuan… people can judge you only by your cover. Jangan salahkan Robertson apabila beliau menilai pramugari kita melalui cara mereka berpakaian.

Pakaian mencerminkan keperibadian seseorang. Jika seseorang berpakaian sopan, maka khalayak akan menilai bahawa kita dalam kalangan wanita yang baik-baik. But if you dressed like a whore, you know what will people say about you…Saya harap syarikat tambang murah ini faham.

Berpakaian dan kelihatan seksi, mengghairahkan dan menggoda bukanlah budaya kita orang Timur, apatah lagi dilihat dari perspektif agama Islam. Pemakaian seperti lingerie dalam pesawat ini amat tidak sesuai sekali untuk diketengahkan menjadi tontonan khalayak antarabangsa.

Begitu juga kita tidak seharusnya memakai pakaian sebegitu di kawasan awam melibatkan khalayak dan ramai kanak-kanak. Dibimbangi akan menjadi ikutan. Pelik sungguh jika syarikat yang turut diterajui orang Islam tidak dapat memahaminya.

Menunjukkan dan menonjolkan bentuk tubuh dengan sengaja agar kelihatan ghairah oleh lelaki adalah perbuatan yang hina. Siapa yang tidak suka barang murah? Apalagi jika barang itu diberikan secara percuma. Begitulah ibarat badan yang terdedah.

Ketahuilah wahai kaum wanita, perkara ini sangat menjijikkan kerana kaum lelaki akan menjadikan kita sebagai objek fantasi seks mereka. Sebab itu, pendekatan Islam lebih kepada mencegah. Pendekatan Islam tidaklah ekstrem, tetapi isu ini sangat asas atau fundamental.

Mualaf pun boleh faham. Banyak syarikat penerbangan yang berpakaian sopan, kenapa kita mahu jadi lain daripada yang lain?

Sudah sampai masanya kita berubah seperti keberanian pihak berkuasa Aceh. Ternyata kesannya begitu dirasai. Respon daripada syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan Firefly, buat sementara waktu penerbangannya dari dan ke Aceh akan dikendalikan kru penerbangan lelaki sahaja. Beruntunglah jadi paramugara. Bertambah rezeki.

Besar pahala pihak berkuasa Aceh atas arahan yang dikeluarkan ini. Selepas ini semakin ramai pelancong antarabangsa akan ke sana sama seperti dilakukan oleh pesawat Royal Brunei Airlines (RBA). Menguatkuasakan identiti dan jati diri negara sedikitpun tidak akan mengurangkan pelancong untuk datang. Malah, mereka lebih suka melihat budaya dan cara hidup kita.

 

Saya ucapkan tahniah kerana ada kemahuan untuk mematuhi kehendak budaya dan peraturan orang meskipun atas tujuan perniagaan. Perkara ini akan menjadi lebih mudah jika syarikat penerbangan ini mahu berubah untuk berpakaian lebih sopan. Saya kadang kala kasihan melihat pramugari kita, berlagak ke sana ke mari dengan pakaian merah yang begitu seksi. Masa bilalah mereka bersolat jika terus dengan berskirt sedemikian rupa.

Peraturan pihak berkuasa Aceh ini bukanlah suatu tindakan yang ekstrem. Tetapi lebih kepada mahu menjaga martabat dan maruah wanita. Hodoh sangat apabila orang luar melabelkan kita sebagai jalang atau pelacur, meskipun kita bukan mahu menjadi sedemikian. Ini belum lagi menyentuh soal halal haram, sama ada rezeki halal atau pun tidak.

Bagi bukan Islam, tidak perlu risau kerana pihak berkuasa Aceh tidak pula mensyaratkan mereka menutup aurat, cukup dengan berpakaian bersopan. Islam mahu menjaga martabat wanita supaya tidak berpakaian seperti pelacur seperti yang ditulis oleh Dr Robertson.

Terbaharu, laman web ultra kiasu mengatakan, surat itu bukan Dr Robertson yang tulis. Pada hemat saya, sama ada Dr Robertson tulis atau tidak, itu bukan soal lagi. Pokoknya, kita mahu berubah atau tidak. Suka dilabelkan sebagai jalang atau tidak.


*Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ,P rofesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Tiada ulasan: