BUKIT MERTAJAM: Adelina Liso, pembantu rumah warga Indonesia yang mati
dipercayai akibat didera majikannya di Taman Kota Permai 2, di sini,
semalam, bekerja dengan keluarga itu sejak 2014 menerusi sebuah agensi
pekerja asing di Pulau Pinang.
Wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati berkata
pembantu rumah berusia 28 tahun itu tidak pernah membuat aduan kepada
pihak konsulat berhubung majikannya sepanjang bekerja di sana.
Malah menurut Neni, Adelina juga pernah bekerja dengan majikan lain.
“Kami memandang serius kejadian dera yang dialami mangsa dan berharap
pembelaan sewajarnya ke atas Adelina. Pihak konsulat juga akan memberi
kerjasama penuh kepada polis dan pihak berkuasa di Malaysia bagi
membantu kes itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital
Seberang Jaya (HSJ) hari ini.
Adelina yang mengalami kecederaan parah, termasuk luka dan lebam di
badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 4.45 petang
semalam dan mayatnya dihantar ke HSJ untuk bedah siasat.
Wanita itu ditemui kira-kira 8 malam Sabtu, selepas polis menerima
laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang lelaki yang juga
pembantu kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Lim.
Ekoran itu, polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berusia
36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.
Neni Kurniati berkata, keluarga Adelina yang tinggal di Nusa Tenggara,
Kalimantan di Indonesia belum mengetahui kejadian yang menimpa wanita
berkenaan kerana pihaknya gagal menghubungi mereka.
“Wakil kami telah pergi ke alamat pada pasport wanita itu, namun gagal
menemui keluarganya dan usaha mengesan mereka masih dijalankan.
“Urusan membawa pulang jasad mendiang akan dibuat, selepas semua proses
bedah siasat oleh hospital dan siasatan yang dijalankan polis selesai.
Kami harap ia dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan