Selasa, 6 Februari 2018

Dr M pertimbang tanding kerusi campuran untuk mudah jadi PM



mahathir-mohamad-ppbm-1

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi campuran berbanding majoriti Melayu untuk memudahkan beliau menjadi perdana menteri, jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya tidak menolak untuk bertanding di kerusi campuran seperti yang dicadangkan, tapi saya kena pikir dalam-dalam cadangan itu,” katanya pada sidang media PH di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Disember lalu, pengerusi PH itu mengesahkan beliau akan bertanding pada PRU14 dan kemungkinan di kerusi Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

“Mereka memberitahu saya bahawa saya berpeluang untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya. Jadi, bersedialah,” katanya bekas perdana selama 22 tahun itu.

Pada 12 Januari lalu, PKR dan Amanah tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Zaid Ibrahim menurunkan Dr Mahathir di kerusi selamat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, berdasarkan rekod politiknya, Dr Mahathir paling layak menentukan kawasan mana yang difikirkannya terbaik untuk bertanding.

“Dia dianggap sebagai mempunyai kebijaksanaan membuat pilihan sendiri dan sebenarnya semua kawasan yang akan ditandingi PH adalah kawasan yang berpotensi untuk menang,” katanya bulan lalu.

Zaid sebelum itu berkata, PH perlu memastikan Dr Mahathir bertanding di kerusi selamat dan mempersoalkan sama ada calon perdana menteri gabungan itu berpeluang menang di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya.

“Semua kerusi itu merupakan kerusi tidak selamat dan tidak boleh memastikan Pakatan Harapan dapat menjadikan beliau perdana menteri, melainkan mereka memang tidak kisah beliau kalah,” kata ahli DAP itu.
Dr Mahathir lebih tahu mana kerusi yang selamat, kata PKR, Amanah

Tiada ulasan: