Sabtu, 10 Februari 2018

Presiden MCA akan tanding DUN Sekinchan, kata Jamal

Presiden MCA akan tanding DUN Sekinchan, kata Jamal
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos berkata kombinasi Liow selaku pemimpin tertinggi dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) bersama Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil di Selangor akan membantu BN merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH). – Gambar fail The Malaysian Insight
 
PRESIDEN MCA Liow Tiong Lai dijangka akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos.

Pemimpin Gerakan Baju Merah itu berkata, kombinasi Liow selaku pemimpin tertinggi dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) bersama Ketua Wanita Umno Shahrizat Jalil di Selangor akan membantu BN merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

"Menjadi persoalan itu (Shahrizat bertanding) di Sungai Besar, di kedai kopi dan kenduri kendara mulut pengundi membicarakan Shahrizat akan bertanding di Sungai Besar, bagi pihak Umno Sungai Besar, permaidani merah kami bagi.

"Di sini juga saya mengumumkan bahawa Presiden MCA Liow Tiong Lai akan bertanding di DUN Sekinchan," kata Jamal, kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri undangan perkahwinan anak lelaki Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Ramli Norani di sini.

Jamal berkata, beliau secara peribadi sedia menerima kedua-dua pemimpin itu untuk bertanding di Selangor.

"Saya tidak kata Umno Sungai Besar bersedia, saya sebagai ketua Umno Sungai Besar bersedia. Kalau kata Umno mungkin terlalu awal.

"Perbincangan sudah ada tapi perbincangan secara rasmi belum ada. Reaksinya biasa. Komen atau standard calon luar. Itu tidak ada masalah," kata Jamal.Liow merupakan Ahli Parlimen Bentong.

Sekinchan dimenangi oleh Ng Suee Lim dari DAP sejak tiga penggal lalu bermula Pilihan Raya Umum 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu beliau menewaskan calon MCA Keek Seng Hooi dengan majoriti 2,239 undi.

Desas-desus turut bertiup kencang mengatakan Shahrizat akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar yang kini disandang Budiman Mohd Zohdi juga dari Umno.

Budiman memenangi kerusi itu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar diadakan susulan kematian penyandangnya, Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sarawak.

Tiada ulasan: