NASRUDIN HASSAN
SAYA telah bangkitkan dalam kenyataan media saya
bertarikh 21 Oktober yang lalu yang menjelaskan bagaimana keputusan
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPK) memperkenalkan 'Integrated
Manasik Monitoring System' (IMAMS) masih kabur dan perlu dikaji semula
Kewujudan IMAMS bukan sahaja berkait dengan caj tambahan termasuk
pembayaran cukai GST, malah keperluan agensi 'one-stop centre' seperti
IMAMS seolah-olah menyebabkan berlaku pertindihan jawatankuasa dalam
mengurus serta mengawal selia pengurusan umrah di negara ini.
Saya ingin tegaskan bahawa sebarang langkah bagi membasmi kes-kes
penipuan pakej umrah ketika ini adalah sangat wajar dilaksanakan dan
disokong. Cuma kedudukan IMAMS dalam 'big picture' tersebut masih kabur
apatah lagi pihak KPK telah memperkenalkan Lesen Khas Umrah (LKU) serta
penglibatan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) yang merangkumi 13 agensi
utama termasuklah Tabung Haji (TH), Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Syarikat Penerbangan Malaysia, MATTA dan JAWHAR.
Maka, mengoptimumkan peranan MKSU serta LKU dilihat sudah memadai
menangani kes-kes penipuan tersebut. Isu ini semakin kuat diperkatakan
ramai pihak memandangkan caj tambahan yang turut melibatkan pembayaran
GST serta kedudukan mereka yang bukan Islam yang terlibat dengan IMAMS
yang mengurus tentang perihal umrah umat Islam.
Persoalannya, mengapa pembayaran tersebut dikenakan sedangkan
peraturan 6(1A) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 telah
menjelaskan tentang Skim Takaful Umrah. Bagi saya, caj tambahan tersebut
hanya menyusahkan orang ramai walaupun kementerian pernah menyebut
bahawa caj tersebut sewajarnya ditanggung oleh pihak agensi.
Saya mengharapkan agar kerajaan terutamanya KPK tidak melakukan
'u-turn' untuk kembali melaksanakan sistem IMAMS tersebut kelak.
Pengumuman membatalkan IMAMS diharap bukan gimik politik bagi meleraikan
bantahan ramai pihak semata-mata. Malah, pihak KPK wajar
mempertimbangkan langkah yang lebih berobjektif dan tidak
sewenang-wenangnya membebankan pihak lain dalam mendepani kemelut yang
melanda.
Sejahtera Bersama Islam
Nasrudin HassanKetua Penerangan PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan