Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH)
bersama penyokongnya berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Amerika
Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak hari ini bagi mengecam tindakan negara
kuasa besar itu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.
Himpunan yang disertai lebih 500 peserta itu mula berarak dati ibu
pejabat Tabung Haji usai solat Jumaat, menuju ke Kedutaan AS.
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya menyifatkan
pengiktirafan oleh Presiden Donald Trump itu sebagai ‘pembulian’ dan
‘pencabulan’ undang-undang antarabangsa.
“Kalau di sekolah ada buli yang pukul anak lemah, kita semua berasa amat marah terhadap buli.
“Hari ini satu (bentuk) buli
antarabangsa. Satu (bentuk) buli dunia. Kalau dia lemah, tidak boleh
buat macam itu. Dia cari lah orang yang lemah. Orang yang tidak ada tentera, yang tidak boleh balas balik barulah dia ambil tindakan.
“Kita perlu bersatu hati dan hentikan
kemusnahan sesama orang Islam dan kita alihkan untuk bina segala
kekuatan yang ada pada kita untuk menentang penyangak yang sekarang
menjad Presiden AS Donald Trump. Pembuli yang orang lemah saja dia
berani,” katanya ketika himpunan anti-Trump anjuran PH.
Jelasnya, negara kuasa besar itu sepatutnya memberikan tekanan terhadap
negara yang setaraf dengannya seperti China bukannya Palestin.
Sehubungan itu ujarnya, sokongan 1.6 bilion umat Islam amat penting
bagi membantu rakyat Palestin berhubung isu status bandar suci itu.
“Orang Islam ini tidak ada tentera,
tidak ada kerajaan yang berani menentang AS. Mereka berasa kecewa
sebabkan buli ini. Maka ramai ramai lagi akan ada orang yang marah apa
yang dikatakan tindakan ganas.
“Apa lagi yang mereka boleh buat.
Mereka tidak ada kapal terbang, tidak ada tank kapal kereta kebal. Yang
ada ialah menyekat bom di badan diri mereka. Sakit,” tambahnya.
Antara pemimpin yang hadir dalam himpunan berkenaan antaranya Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden
Amanah Mohamad Sabu, Pengerusi Bersih Maria Chin dan Presiden PKR Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Kelibat pemimpin DAP Lim Kit Siang mahupun anaknya Lim Guan Eng tidak kelihatan dalam himpunan berkenaan.
Yang dilihat hadir mewakili DAP ialah Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu.
Perhimpunan bantahan berkenaan turut disertai rakyat negara Palestin dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Perarakan disambut teriakan 'Allahuakbar' dan 'Hidup Palestin' dan
dilihat peserta membawa sepanduk ‘Hancur perjajahan tanah Palestin’ dan
‘Boikot pemusnah’ di sepanjang perarakan menuju ke Kedutaan AS itu.
Terdahulu Umno, PAS dan beberapa NGO berhimpuan di hadapan kedutaan AS bagi membantah isu yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan