Oleh Shuhaniza Said
PORT DICKSON: Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memasang
impian untuk menjadi dominan dalam Pakatan Harapan (PH) sebagaimana
peranan Umno dalam Barisan Nasional (BN), ia hanyalah 'bermimpi di siang
hari'.
Pengasas yang juga bekas ahli parti itu, Kamarulazman Habibur Rahman
berkata, ini kerana parti yang baru berusia setahun itu tidak mungkin
akan diberi agihan kerusi yang banyak berbanding parti komponen PH lain
yang jauh lebih 'senior'.
"Paling banyak kerusi yang boleh dimenangi PPBM ialah 15 sahaja. Itupun
kalau boleh menang 15 sebab kita kena faham bahawa mereka akan
bertanding di kawasan yang dimonopoli Umno. Bukan mudah menewaskan Umno
di lubuk Umno sendiri," katanya kepada Antarapos ketika ditemubual
baru-baru ini.
Kamarulazman malah berpandangan, kerusi yang dimenangi PPBM pada PRU14
kelak, akan menjadi bahan tawar-menawar sekiranya berlaku 'kerajaan
tergantung', situasi di mana tiada pihak mendapat kemenangan mutlak.
Ujarnya, tidak mustahil 'tawar-menawar' itu berlaku bagi membolehkan
'anak emas' PPBM mendapat jawatan penting dalam kerajaan yang dibentuk
nanti.
"Tafsiran saya secara peribadi ialah apabila PPBM akan menawarkan 15
kerusi ini kepada gagasan yang akan membentuk kerajaan jika berlakunya
'kerajaan tergantung'.
"Jika tiada pemenang mutlak dalam PRU14 nanti, saya nampak bahawa
kerusi PPBM ini akan disandarkan sebagai bahan tawar-menawar untuk
seseorang menjadi timbalan perdana menteri.
"Dan pada ketika itu perjuangan PPBM dihumban jauh entah ke mana,"
katanya sambil mengulangi bahawa parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad
itu bukan berasaskan perjuangan tulen sebaliknya hanya perjuangan
peribadi.
Tidak berminat sertai parti lain
Kamarulazman merupakan salah seorang individu penting dalam penubuhan
PPBM, namun mengambil keputusan untuk keluar parti pada April lalu
selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih dalam parti
tersebut.
Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya dalam parti,
termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha
Kerja PPBM pusat.
Sebilangan ahli dan pemimpin peringkat negeri mengikut jejak langkah
beliau, namun paling mengejutkan adalah apabila dua orang pemimpin kanan
parti turut berbuat demikian baru-baru ini, iaitu Anina Saadudin dan
Datuk Hamidah Osman.
Anina merupakan salah seorang pengasas yang juga merangkap Ahli Majlis
Pimpinan Tertinggi, manakala Hamidah pula Naib Presiden. Kedua-duanya
mengumumkan keluar parti pada 16 September lalu.
Hampir enam bulan meninggalkan PPBM, ramai menjangka beliau akan
menyertai mana-mana wadah politik untuk meneruskan perjuangannya, malah
tidak kurang membuat jangkaan beliau akan kembali ke pangkuan Umno.
Bagaimanapun tegas Kamarulazman, isu beliau menyertai bekas parti asalnya itu tidak berbangkit.
"Saya berpandangan lebih baik saya tidak mempunyai wadah politik baru
tapi saya mempunyai masa dan peluang untuk bercakap kepada rakyat
Malaysia dan bangsa Melayu tentang apa sebenarnya yang kita mahu, dan
apa kemudaratan yang dibawa oleh PPBM kepada generasi akan datang dan
sebagainya.
"Untuk menyatakan itu, adalah lebih baik saya tidak mempunyai parti
politik pada ketika ini kerana rasanya bercakap atas landasan neutral
itu adalah jauh lebih baik daripada menyertai mana-mana parti
politik,"ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan