Isnin, 2 Oktober 2017

Pas nafi sebut bakal terima ahli baharu semasa Fastaqim 2.0

Manzaidi Mohd Amin

Dr. Azman Ibrahim


KUALA LUMPUR – Samada peringkat Pas Pusat mahu pun Mesyuarat Panitia Fastaqim 2.0, tidak pernah disebut pun nama seperti bekas hakim, bekas Ketua Wanita UMNO dan beberapa nama lain kononnya akan diisytiharkan masuk Pas.

Hal berkenaan disahkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Azman Ibrahim yang menyifatkan spekulasi mengaitkan nama-nama berkenaan sebagai perang saraf pihak tertentu.

“Tiba-tiba keluar senarai nama tersebut yang tersebar merata-rata. Ini dinamakan perang saraf. Musuh buat kemudian mereka tuduh kita sebar.

“Tujuannya mudah saja. Nak tuduh Pas berbohong bagi menenggelamkan kejayaan Fastaqim 2.0 dan menutup kegagalan pelbagai program lain yang dianjurkan pihak lain di sekitar Kuala Terengganu pada masa dan tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas khabar angin yang tersebar luas mendakwa bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Datuk Ismail Yahya; bekas Pengurus Besar Ketengah, Datuk Wan Mat Amin Wan Daud; bekas Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman; bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin; dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Dr. Zaharah Sulaiman akan menyertai Pas.

Menurut Azman, seekor singa yang perkasa (Pas) tidak akan melayan usikan nakal seekor tikus (musuh Pas).

“Ada tikus nakal dengan mempamerkan gelagat orang tidak lulus pengajian ilmu hisab. Ada kononnya berlagak dialah pejuang ahli sunnah dengan mempertikaikan kenapa Pas adakan himpunan Fastaqim 2.0 pada tarikh 10 Muharram yang menyerupai (ajaran) Syiah.

“Mereka tidak sedar, untuk menyaingi Pas mereka juga buat himpunan pada tarikh yang sama.
Mungkin mereka guna kalendar lain dari kalendar Pas,” katanya yang turut menyindir pihaknya dengan mudah dapat ‘menangkap’ tukang onar atau pelakunya jika mahu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: