Ahad, 8 Oktober 2017

Pakatan masih sangkut 66 kerusi Parlimen Semenanjung

Oleh


  
PAKATAN Harapan masih belum menyelesaikan pembahagian 66 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, kebanyakannya melibatkan kerusi majoriti pengundi Melayu, biarpun umumnya bersetuju parti-parti komponennya akan kekal bertanding kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sumber PH memberitahu , kira-kira 40% daripada 166 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia masih dalam rundingan kerana gabungan pembangkang itu kini disertai ahli baharu, Bersatu yang sebelum ini tidak ada ketika PRU13 dulu.

Status rundingan kerusi Parlimen itu dimaklumkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH di Kuala Lumpur, awal minggu ini, tambah sumber itu.

“Setakat yang sudah selesai, PKR dapat kerusi Parlimen paling banyak, diikuti dengan DAP, Bersatu dan Amanah.

“Nanti apabila sudah selesai pertindihan, angka ini akan berubah, terutamanya kerana 40% ini melibatkan banyak kerusi Melayu,” kata sumber, dengan syarat tidak dinamakan.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang dihubungi  enggan mengulas lanjut mengenai rundingan kerusi dalam PH itu.

“Saya percaya ia akan dapat diselesaikan dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah sebulan lalu mengumumkan pakatan itu selesai merundingkan 100 kerusi Parlimen namun tidak menamakan kerusi berkenaan sebaliknya hanya berkata "semua sudah boleh agak".

Menurut sumber, PKR akan mengekalkan kerusi seperti Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Kelana Jaya, manakala DAP kekal bertanding di Petaling Jaya Utara dan Seputeh. Kerusi yang dulunya dimenangi oleh PAS, seperti Shah Alam dan Sepang, akan ditandingi pada PRU14 oleh Amanah.

Pada PRU13, PKR menang 28 kerusi Parlimen di Semenanjung sementara DAP 31 kerusi dan PAS, yang kini sudah keluar daripada pakatan, menang 21 kerusi.

Amanah, parti serpihan PAS yang dibentuk pada 2015, mempunyai enam kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh PAS, manakala Bersatu, yang dibentuk setahun lalu, ada satu kerusi di Pagoh.

PH sebelum ini menyelesaikan pembahagian pimpinan negeri dengan PKR diberikan tugas memimpin empat negeri: Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah. Bersatu juga menerajui empat negeri: Perlis, Kedah, Perak dan Johor; DAP tiga negeri: Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak; manakala Amanah memimpin kempen PH di Melaka, Terengganu dan Kelantan.

Sumber itu memberitahu, rundingan baki 56 kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak masih juga berjalan namun tidak rumit seperti di Semenanjung Malaysia.

“Sabah belum selesai lagi. Sarawak lebih mudah kerana hanya melibatkan kerusi Parlimen.

“Kalau pilihan raya diadakan hujung tahun ini, kita tidak ada masalah untuk masuk bertanding,” kata sumber berkenaan.

PRU14 perlu diadakan sebelum Ogos tahun depan.

Mengenai 60% kerusi yang dikekalkan pada parti yang menang, sumber berkata pengagihan itu tidak berubah melainkan jika ada mana-mana parti yang mahu bertukar kerusi suka sama suka, dengan syarat calon dikemukakan adalah calon yang akan memastikan PH menang.

Pengarah Pilihan Raya PH Azmin Ali bulan lalu memberitahu wartawan jawatankuasa pilihan raya gabungan pembangkang itu terbuka mengenai penetapan kerusi untuk parti komponen PH.

“Kalau ada rakan-rakan kita yang boleh menonjolkan calon yang lebih baik, dengan jentera yang lebih kuat, kita akan pertimbangkan.

“Kita hendak menang sebagai PH, bukan sebagai parti individu,” katanya 

Tiada ulasan: