Timbalan menteri di JPM berkata proses pendaftaran
akan memudahan saluran peruntukan dan operasi institusi itu mudah
dipantau terutama dari aspek keselamatan.
KUALA LUMPUR: Mana-mana institusi pondok dan sekolah tahfiz yang ingin menikmati peruntukan menerusi peruntukan Bajet 2018 yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membuat pendaftaran di bawah pentadbiran negeri masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia sekaligus dapat memudahkan segala urusan peruntukan itu disalurkan dan memastikan operasi institusi terbabit mudah dipantau terutamanya melibatkan aspek keselamatan.
“Perdana menteri akan mengumumkan sesuatu yang istimewa untuk warga pondok dan tahfiz terutamanya yang berdaftar.
“Saya bagi pihak kerajaan mengharapkan, pihak pondok atau tahfiz yang menjalankan aktiviti persendirian yang belum berdaftar dengan negeri, saya berharap mereka berdaftar.
“Apa jua yang bakal diumumkan perdana menteri dapat disalurkan dan dipantau dengan lebih baik kerana kita nak jaga keselamatan pelajar dan institusi pondok itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata perdana menteri turut menekankan peruntukan Bajet 2018 kepada intitusi pondok dan tahfiz perlu digunakan bagi meningkatkan aspek keselamatan sekaligus dapat memartabatkan sistem pendidikan tersebut.
Sebelum ini Najib berkata kerajaan bakal mengumumkan peruntukan kepada sekolah tahfiz menerusi pembentangan Bajet 2018 Oktober ini.
Katanya, langkah itu sebahagian daripada komitmen kerajaan memastikan sekolah tahfiz selamat, kesan daripada tragedi kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara baru-baru ini yang meragut 23 nyawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan