Selasa, 10 Oktober 2017

Fastaqim 2.0 jawapan kepada pengkritik PAS

Oleh Penulis Khas 


SEJAK beberapa tahun lalu khususnya setelah tidak lagi bersama pakatan pembangkang dan keluarnya sebahagian bekas pimpinan (yang tewas dalam pemilihan) daripada parti, PAS telah menghadapi pelbagai kritikan dan tohmahan tidak henti-henti.

Tindakan PAS itu didakwa menjauhkan sokongan rakyat kepadanya di samping ahli-ahli sendiri akan keluar meninggalkan parti.

Dengan kata lain PAS dikatakan sudah tinggal nyawa-nyawa ikan, hanya disokong oleh segelintir lebai-lebai kampung sahaja dan sedang menunggu hari untuk terkubur.

Pilihan Raya Umum akan datang digambarkan hanya medan persaingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana PAS kononnya sudah tidak masuk ‘book’.

Dalam masa yang sama PAS dituduh pula mahu bersekongkol dengan Umno dan telah makan dedak Umno apabila menerima dana politik daripada parti itu berjumlah RM90 juta. Tuduhan jahat ini malah dijuarai oleh seorang bekas pimpinan kanan PAS sendiri yang mendakwa mempunyai bukti kukuh (bukti tersebut tidak pernah didedahkan sehingga kini).

Justeru himpunan Fastaqim 2.0 pada 30 September lalu adalah jawapan kepada hampir semua kritikan dan tohmahan kepada PAS selama ini.

Himpunan yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus itu telah menyaksikan kehadiran ratusan ribu manusia yang memenuhi kawasan lapang berhadapan dengan laut Cina Selatan seluas 50 ekar. Itupun dengan mengeluarkan belanja sendiri untuk membiayai segala kos perjalanan, makan minum dan penginapan bagi yang datang daripada jauh.

Secara logiknya tidak mungkin himpunan sebesar itu mampu dijayakan dalam keadaan penganjurnya merupakan sebuah organisasi yang lemah, tidak lagi punya kepakaran atau profesional dan sudah hilang sokongan rakyat teramai.

Sebaliknya himpunan itu telah menyampaikan isyarat PAS bukan sahaja masih mengekalkan sebahagian besar ahlinya tetapi berjaya menambah sokongan baru dari kalangan anak-anak muda.

Misalnya, perarakan lebih 8,000 motosikal yang sebahagian besarnya dari kalangan anak-anak muda ke tapak Fastaqim 2.0 lalu apalagi yang boleh disimpulkan selain jawapan jelas daripada golongan itu terhadap persoalan parti mana akan menjadi pilihan mereka?

Begitu juga dengan kemunculan dua tokoh nasional pada malam kemuncak Fastaqim yang mana salah seorangnya merupakan bekas Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato’ Seri Zakaria Jaffar (kini beliau merupakan Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia) dengan menyatakan sokongan dan keyakinan beliau terhadap PAS dalam usaha menentang rasuah merupakan satu pukulan kepada pengkritik PAS.

Tentulah, bagaimana PAS yang ditohmah menerima dedak dan tidak lagi serius atau lantang dalam isu-isu melibatkan penyelewengan oleh kerajaan tiba-tiba mendapat keyakinan tokoh seperti Dato’ Seri Zakaria itu.

Fastaqim 2.0 juga untuk sekalian kalinya membuktikan PAS tidak bersendirian dalam perjuangannya tetapi terus meluaskan kerjasama ataupun kesefahaman dengan pelbagai pihak daripada pelbagai latar belakang idelogi, bangsa dan agama.

Justeru pentas Fastaqim 2.0 turut menyaksikan kehadiran wakil-wakil parti dalam Gagasan Sejahtera, pelbagai wakil Badan Bukan Kerajaan dan individu yang sama-sama berkongsi inspirasi mahukan perubahan yang baik untuk negara.

Akhirnya, pelancaran apa yang dinamakan Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) merupakan ‘chekmate’ kepada pengkritik PAS. Wins menterjemahkan betapa seriusnya PAS mahu membawa perubahan dalam bentuk yang bukan retorik.

Apa yang terkandung di dalam Wins adalah satu bentuk solusi untuk membetulkan masalah yang dihadapi negara hasil sistem yang diterima pakai (tentunya oleh BN) - dengan mengambil kira semua aspek penting yang membawa kepada kesejahteraan rakyat.

Seeloknya, mana-mana pihak yang selama ini mendapat gambaran begitu negetif terhadap PAS sehingga membenci atau meninggalkan parti menyiasat kembali dari mana datangnya sumber-sumber yang dirujuk atau didengari selama ini supaya tidak terus menerus melakukan tindakan yang salah.

Tiada ulasan: