shahbudindotcom
Ketika
Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Mara beberapa minggu
sebelum ini, terdampar harapan yang melebar di kalangan masyarakat
bahawa beliau adalah pilihan yang mampu membawa sinar baru kepada agensi
penting bagi pembangunan kaum Bumiputera itu.
Ini
kerana beliau dilihat mempunyai latar belakang yang kukuh dan
intergriti yang tinggi dengan pernah menjadi Penolong Gabenor di Bank
Negara, Timbalan Menteri Kewangan dan Duta Besar Malaysia ke Amerika
Syarikat.
Berbanding
pendahulunya, Annuar Musa yang terpalit dengan isu penajaan oleh anak
syarikat Mara kepada pasukan bolasepak Kelantan di ketika beliau ketika
itu mengetuai Mara dan juga Kafa, kehadiran Awang Adek yang selama ini
bersih imejnya, tentulah suatu pilihan yang dibuat dengan niat suci lagi
murni.
Tambahan
lagi, disebabkan kes tersebut jugalah Annuar digantung jawatannya
sebagai Pengerusi Mara dan disiasat oleh SPRM dan Jawatankuasa Audit
Dalaman Mara.
Bagaimanapun, hasil siasatan oleh SPRM dan Jawatankuasa Audit itu tidak pernah diumumkan sehingga hari ini.
Tidak
dipastikan sama ada kesnya itu sudah ditutup, tiada kes penyalahgunaan
kuasa atau penyelewengan yang boleh dibuktikan atau didiamkan begitu
saja berikutan kedudukan Annuar sebagai Ketua Penerangan UMNO yang sejak
kebelakangan ini begitu gigih dan ketagih mempertahan dan mengampu
Najib, sambil dalam masa yang sama tiada simpati dan mengenang budi
dalam membelasah Tun Mahathir Mohamad.
Tetapi
kenyataan terbaru dan pertama oleh Awang Adek berkaitan kes Annuar itu
tentu saja meluka dan melumpuhkan harapan seluruh rakyat yang cintakan
kebenaran dan mahu melihat undang-undang ditegakkan dengan sewajarnya.
Keyakinan terhadap beliau juga musnah dengan sendirinya.
Kata
Awang Adek, dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang
melibatkan Annuar adalah isu lama yang tidak perlu dibangkitkan lagi.
Kes itu sudah berlalu, usah dikenang lagi, kita pandang ke hadapan.
Cerita
ini sudah habis, tak perlu bincang. Kita sebagai Pengerusi baharu,
mesti ada modal baharu, bukan modal lama, katanya lagi.
Ehh..ehh...boleh begitu pulak?
Apakah ini bermakna Awang Adek mahu menutup kes Annuar itu?
Apa hasil siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara terhadap Annuar?
Kenapa
tidak diumumkan dan apakah kenyataan Awang Adek itu memberi gambaran
hasil siasatan terhadap Annuar akan jadi barang simpanan semata-mata?
Tidakkah
beliau sedar kes Annuar itu adalah melibatkan anak syarikat Mara yang
bermakna ia berkaitan wang rakyat yang harus diurus dengan jujur dan
telus?
Agak-agak
kiranya Annuar berada di pihak pembangkang sekarang, adakah kesnya akan
didiam dan akan dijadikan cerita lama yang tidak mahu dikenang juga?
Bolehkah kes samunan, penyonglapan atau kehilangan wang rakyat dilupakan begitu saja dan jangan dikenang lagi?
Dan
kalau siasatan belum lagi lengkap, tidakkah pendirian Awang Adek yang
mengatakan kes rasuah Annuar adalah kes lama yang tidak perlu dikenang
merupakan sikap curang terhadap amanah ada dibahunya?
Adakah
ini yang selalu disebut oleh ustaz-ustaz mengenai ingatan Nabi Muhammad
SAW bahawa di akhir zaman nanti mereka yang bergelar pemimpin adalah
penyamun-penyamun belaka di mana mereka bukan saja merompak wang rakyat,
malah melindungi sesama sendiri perbuatan itu?
Selain
beberapa kes samunan sebelum ini yang tidak diketahui apa hasil
siasatannya, kenyataan Awang Adek ini adalah satu lagi bukti bahawa
tiada apa yang mampu menyelamat dan memulihkan negara ini melainkan UMNO
dan BN ditumbangkan dalam pilihanraya akan datang.
Selagi ia menang dan kekal berkuasa, mereka akan saling menutup pekung sesama sendiri.
Kiranya
Awang Adek pula ada kes selepas ini, penggantinya juga mungkin akan
berkata, itu adalah isu lama yang tidak perlu dikenang lagi. Akhirnya
semua penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa tutup kes saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan