PAS mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berani bertindak menahan Tan Sri
Isa Samad atas kes pembelian hotel oleh FIC seperti mana seorang exco
DAP Pulau Pinang atas kes sebuah kilang beroperasi secara haram di
Kampung Sungai Lembu.
Semua mengetahui kemarahan warga Felda tertumpu kepada Isa dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Keputusan PM untuk menubuhkan FGV dan melantik Isa, yang pernah
dibuktikan bersalah bermain politik wang oleh Umno sendiri untuk
menerajui Felda telah menjejaskan masa depan Felda dan peneroka.
Sehingga kini, PM masih tidak menjawab mengapa beliau memilih Isa.
Mengapa tindakan mengeluarkan Isa daripada Felda sebegitu lambat?
Mengapa pula Isa dilantik untuk menerajui SPAD?
Semalam bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad direman 5 hari.
Tindakan kepada Isa ini masih awal untuk dibuat apa-apa kesimpulan
tetapi yang pasti ia tidak akan menyelesaikan masalah Felda. Ia bukan
penanda Felda sudah selamat. Jika ada wang yang diseleweng, ia telahpun
diseleweng.
Apakah langkah pemulihan untuk memulihkan Felda dan FGV daripada kepincangan yang wujud di zaman Isa dan Najib?
Itu yang perlu terus dituntut warga peneroka dan bukannya sekadar
berpuas hati dengan sekadar tindakan ke atas Isa yang masih jauh untuk
diketahui kesudahannya.
Ketika Tun Abdullah Badawi baru menjawat jawatan Perdana Menteri,
bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Malaysia, Tan Sri Kasitah
Gaddam telah diheret ke mahkamah untuk didakwa.
Peristiwa itu berlaku pada 12 Februari 2004 dan telah membina
persepsi bahawa pentadbiran Tun Abdullah akan jauh berlainan daripada
Tun Dr Mahathir.
Kurang tiga minggu selepas itu, parlimen tetiba dibubarkan dan
Pilihan raya Umum ke-11 diadakan pada 21 Mac 2004 dan Tun Abdullah
Badawi menang bergaya. 5 tahun selepas itu, Kasitah dibebaskan daripada
tuduhan rasuah. Berapa ramai rakyat yang terasa diperdayakan?
Sejarah 12 Februari 2004 nampaknya sedang berulang dan ini menandakan
pilihanraya umum bakal diadakan. Melihat Isa, susah bagi rakyat dan
peneroka Felda untuk tidak mengingati kes Kasitah Gaddam. HARAKAHDAILY
*Tuan Ibrahim Tuan Man,Timbalan Presiden PAS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan