Khamis, 17 Ogos 2017

Bidasan Pertama DAP Terhadap Azmin Ali – Dr Kamarul





Membaca kenyataan media Setiausaha Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY), Howard Lee Chuan How, semalam, 15 Ogos 2017, nampak agak jelas pendirian DAP ke atas usaha Timbalan Presiden PKR merangkap Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan, Datuk Seri Azmin Ali, mengadakan perbincangan dengan PAS.

Beberapa perkara yang ditimbulkan oleh Howard Lee perlu diambil perhatian.

Perkara pertama adalah tindakan Howard Lee menyifatkan perbincangan dua hala antara Azmin dan pimpinan PAS ini sebagai sangat membimbangkan (a matter of grave concern).

Perkara kedua adalah penegasan Howard Lee bahawa DAP tidak boleh mengalu-alukan perbincangan dengan PAS yang didakwa mesra UMNO dan memusuhi Pakatan Harapan.

Perkara ketiga adalah penegasan Howard Lee bahawa membuka pintu untuk PAS semata-mata atas perkiraan taktikal tidak akan menguntungkan Pakatan Harapan (counterproductive).

Perkara keempat adalah penegasan Howard Lee bahawa Pakatan Harapan mesti mendekati ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS, tetapi bukan pucuk pimpinan PAS sekarang.

Perkara kelima adalah gesaan Howard Lee kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak membuang masa dan tenaga untuk mendekati pucuk pimpinan PAS sekarang.

Perkara keenam adalah penegasan Howard Lee bahawa buka pintu hendaklah bermaksud PAS yang datang kepada Pakatan Harapan bukan Pakatan Harapan yang pergi kepada PAS.
Tegas Howard Lee:

“We – Pakatan Harapan – must not and should not be the ones reaching out to PAS”.

“If and when PAS wish to come on board, they must agree to our agenda and Malaysian people’s agenda first”.

“PAS must come to Pakatan Harapan and negotiate on Pakatan Harapan terms”.

Saya boleh hormat kepada Howard Lee kerana membuat ulasan yang menunjukkan beliau memahami bahawa sebenarnya PKR yang mendekati PAS bukan PAS yang terhegeh-hegeh mendekati PKR seperti yang cuba digambarkan oleh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Pada masa yang sama, saya melihat bahawa anjuran Howard Lee kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak mendekati pucuk pimpinan PAS sekarang tetapi mendekati ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS adalah satu gesaan yang sangat tidak beretika.

Saya juga yakin pucuk pimpinan PAS sekarang adalah pemimpin bermaruah yang tidak akan sesekali merendahkan taraf diri dan perjuangan mereka dengan terhegeh-hegeh mendekati dan memujuk rayu pucuk pimpinan Pakatan Harapan supaya menerima PAS kembali.

Kita tunggu dan lihat sahaja reaksi Datuk Seri Azmin ke atas bidasan Howard Lee ini, juga ke atas penegasan Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Dr Mohd Hatta Ramli, bahawa perbincangan antara Datuk Seri Azmin dan pimpinan PAS “tidak ada kaitan dengan Pakatan Harapan”.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tiada ulasan: