Khamis, 17 Ogos 2017

Imej Google Earth Bukti Guan Eng Berbohong Isu Kilang Haram





IBARAT sudah terang lagi bersuluh… Imej satelit menerusi aplikasi Google Earth akhirnya telah membuktikan bahawa kilang haram mula dibina pada zaman pemerintahan DAP bukannya BN.

Ironi, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng cuba ‘lari’ daripada tanggungjawab apabila meminta maaf kepada penduduk Sungai Lembu konon kilang itu sudah ada pada zaman BN mentadbir negeri tersebut Pulau Pinang.

Walhal tohmahan jahat itu adalah kenyataan yang tidak benar. Lebih dahsyat, kewujudan kilang berkenaan telah menyebabkan lima penduduk maut dan 11 lagi menderita kanser akibat pencemaran daripada premis tersebut!

Padahal kilang pemprosesan nadir bumi kontroversi Lynas di Kuantan, Pahang yang didakwa pembangkang konon berbahaya sebar radiasi maut tetapi sehingga kini disahkan pelbagai badan nuklear antarabangsa sebagai selamat.

Terkini selepas Guan Eng dakwa konon kilang haram tiada dibina ketika DAP memerintah Pulau Pinang, bukti imej satelit Google Earth menunjukkan premis itu masih belum wujud hingga Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008.

Malahan pemeriksaan terperinci oleh seorang pengguna media sosial tempatan, Tzu P Wong pula mendapati tapak kilang berkenaan juga masih lagi kosong pada 31 Ogos 2008, iaitu lima bulan DAP menang besar di negeri itu.

“Kajian mudah menggunakan Google Earth untuk meninjau kawasan Bukit Mertajam menggunakan panduan garis masa menunjukkan Guan Eng terbukti berbohong. Ia tiada ketika zaman BN masih memerintah Pulau Pinang.

“Umum mengetahui, DAP sudah memenangi Pilihan Raya Umum ke-12 dan beliau sudah angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sambil boleh menikmati minuman kopinya di tingkat tertinggi Menara Komtar.

“Dan selepas itu, kilang haram berkenaan muncul pada semua garis masa imej satelit bermula 2009 sehingga terbaharu pada 2016. Maka sekali lagi, terbukti tanpa ragu bahawa Guan Eng sebenarnya bercakap bohong.

“Tiada apa yang ikhlas mengenai beliau dan DAP konon mahu membela nasib rakyat, walaupun penduduk Pulau Pinang sendiri sudah sembilan tahun terpaksa hidup dalam bahaya,” tegas P Wong di George Town semalam.


31 OGOS 2008
2 OGOS 2009
20 FEBRUARI 2010
11 FEBRUARI 2013
8 JANUARI 2016
Untuk rekod pada 26 Februari 2012, ketika satu perhimpunan haram anjuran pembangkang bagi memprotes kilang Lynas yang diadakan di Pulau Pinang, Guan Eng dalam ucapan bantahan terhadap Lynas itu ada menyatakan:

“Mereka yang sokong projek Lynas ini tiada perikemanusiaan… kita mahu buat pembersihan Lynas kerana mahu anak kita akan selamat.” Lucunya pada hari ini pula siapa yang memang tidak ada sifat perikemanusiaan?

Guan Eng sendiri, sanggup tergamak menyaksikan hampir sedozen orang penduduk di Kampung Sungai Lembu menderita dan ramai maut akibat dijangkiti kanser ekoran kewujudan kilang haram dibiarkan bebas di situ.

Sebaliknya, selepas lima tahun, tiada sesiapa pun yang kena apa-apa penyakit akibat pembukaan loji Lynas di Pahang. Namun di Pulau Pinang, ada banyak kilang haram yang membahayakan keselamatan dan nyawa rakyat.

Tuduhan jahat dibuat pembangkang ke atas kilang Lynas amat karut termasuk mendakwa penduduk konon bakal berubah menjadi zombie ekoran terkena sinaran bahan radioaktif nadir bumi yang diproses di kilang berkenaan.

Apa yang berlaku, sudah ada bukti jelas operasi sebuah kilang haram penapis karbon di Bukit Mertajam, Pulau Pinang adalah berbahaya kepada penduduk sekitar yang akhirnya menderita akibat pencemaran teruk dihasilkan.

Seorang penduduk, Ong Cheng Giap mendakwa dia serta 11 orang penduduk Kampung Sungai Lembu mengalami masalah alahan kulit termasuk gatal sejak kilang haram yang terletak 100 meter dari rumahnya mula beroperasi.

Untuk rekod, kilang haram itu sudah 10 tahun beroperasi tanpa lesen. Sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan DAP, malah kilang ini dilindungi lagi pihak berkuasa tempatan daripada undang-undang.

Exco DAP Pulau Pinang dipercayai berjaya melindungi kilang haram ini meskipun mengetahui kewujudannya dan sudah pun mendapat bantahan keras dari penduduk setempat sendiri bahkan membiarkan sahaja perkara itu.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr M Sukumar, 11 daripada 500 orang di kawasan Kampung Sungai Lembu itu sudah pun disahkan menghidapi kanser dan tujuh pula maut sejak dua tahun.

Lebih menakutkan jika ia ditukar kepada nisbah. Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2007 – 2011 oleh Institut Kanser Kebangsaan mendedahkan kadar peringkat nasional 87 peratus bagi setiap 100,000 penduduk.

Bahayanya di Pulau Pinang ini, kadar nisbah kanser di Sungai Lembu adalah amat tinggi iaitu 2,342 peratus. Lebih tinggi daripada kadar purata kebangsaan. Kasihan penduduk Pulau Pinang khususnya di Sungai Lembu.

Sudah ramai mati akibat kanser serta puluhan orang lagi alami penyakit gatal dan risiko kanser. Guan Eng masih lagi buat ‘pekak badak’ dan membuat lawak bodoh apabila menyalahkan BN pula sebagai punca masalahnya.

DAP jual tanah kerajaan negeri di Jalan Peel kepada syarikat Singapura, dia salahkan BN, banjir kilat berlaku di bahagian pulau pun salahkan BN, beli banglo dengan harga murah daripada pasarana itu juga tetap salahkan BN.

Waima mati kanser akibat kilang haram pun, Guan Eng masih mahu putar belit salahkan BN. Ini Ketua Menteri sudah gila agaknya. Rakyat Pulau Pinang kena bangkit dan bantah perangai pemimpin negeri sebegini.

Sampai bila mahu perbodoh rakyat? Cukup sudah, rakyat kena hukum DAP atas kertas undi nanti. Guan Eng dan DAP tidak berperikemanusiaan lagi terhadap rakyat Pulau Pinang selama ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Tiada ulasan: