KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Yakob akan meneruskan tugas-tugas beliau
selaku menteri besar Kelantan sekiranya PAS berjaya mengekalkan
kemenangannya di negeri Cik Siti Wan Kembang itu pada pilihan raya umum
ke-14 (PRU14).
Pengesahan itu dibuat oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah yang juga timbalan menteri besar Kelantan.
"Selepas PRU14 nanti, tentu sekali lagi Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad
Yakob dilantik menjadi menteri besar sekiranya PAS kekal menguasai
kerajaan.
"PAS tidak perlu mengikut jejak Datuk Husam Musa yang menyenaraikan nama menteri besar Kelantan lebih awal.
"Saya rasa pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) mengigau sebab
Kelantan sudah ada menteri besar tiba-tiba dia minta senarai nama pula,”
katanya, memetik laporan Harakah Daily.
Mohd Amar berkata demikian sebagai mengulas desakan Husam yang mahu PAS menamakan calon menteri besar untuk PRU14.
Husam yang kini menjawat kerusi naib presiden bakal diangkat ke jawatan
nombor satu kerajaan negeri Kelantan jika Pakatan Harapan (HARAPAN)
berjaya menawan Kelantan pada PRU14.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, PAS tidak perlu namakan menteri besar seperti dilakukan pemimpin AMANAH.
"Senarai nama menteri besar biasanya akan dinamakan sewaktu kita belum pegang kuasa.
"Sekarang kita dah pegang kuasa kerajaan, yang menjadi menteri besar
sekarang inilah yang akan menjadi menteri besar selepas ini selagi masih
sihat,” tambah beliau.
Katanya, menteri besar Kelantan sekarang bertugas dengan baik malah
dipilih sendiri oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
dipersetujui istana.
"Sedangkan Husam dipilih DAP yang tidak ada pula penyokong di Kelantan.
"Cuma pandangan saya, sesiapa yang nak jadi menteri besar kena pastikan parti yang didokongi itu menang dahulu.
"Ini tidak, kawin belum lagi, tiba-tiba dah ada calon nama anak, macamana," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan