Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan kenyataan
dolak-dalik terbaru yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Datuk
Seri Anwar Ibrahim, ada kaitan dengan cubaan Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) itu mahu menguasai Pakatan Harapan (PH).
Malah menurut Edwin Michael yang merupakan pensyarah di Universiti Tun
Razak (UTAR) ini, Dr Mahathir sedang memberi petunjuk bahawa keputusan
berkenaan siapa bakal calon perdana menteri hanya boleh diputuskan oleh
beliau.
"Saya rasa Mahathir cuba tunjukkan satu mesej yang kuat kepada PH
bahawa sebenarnya Anwar tidak layak sama sekali untuk menjadi perdana
menteri dan siapa yang bakal menjadi perdana menteri adalah akan
ditentukan oleh Mahathir, itu adalah mesej yang sangat jelas diberikan
kepada PH.
"Saya melihat ini menjadi satu indikator yang sangat jelas bahawasanya
Mahathir cuba untuk menguasai PH dengan menjadi individu yang memberikan
kata putus tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri," katanya
ketika dihubungi Antarapos.
Pandangan Edwin itu merujuk kepada kenyataan Dr Mahatir dalam temu bual
bersama media asing, The Guardian baru-baru ini yang kononnya beliau
menyokong Anwar diangkat menjadi perdana menteri sekiranya mendapat
pengampunan diraja.
Namun, kenyataan tersebut kemudiannya dinafikan beliau sendiri sejurus selepas itu.
Ditanya mengenai tindakan Mahathir yang membuat pusingan 'u-turn' ke
atas kenyataannya itu, Edwin kemudiannya menganggap Mahathir sengaja
memberi 'harapan palsu' kepada ahli dalam PKR yang bersorak gembira
dengan sokongan beliau terhadap ketua mereka itu.
Malah bagi Edwin, penafian mantan perdana menteri itu seterusnya
membuka pekung dalam pembangkang bahawa mereka masih tidak sependapat
tentang calon jawatan penting itu.
"Parti Keadilan Rakyat ini telah diberikan harapan yang sangat tinggi
bahawa Anwar bakal dijadikan perdana menteri dan kemudian Mahathir
membuat u-turn dan menafikan membuat kenyataan sedemikian telah
menunjukkan satu bukti yang sangat jelas bahawa tidak ada konsensus
sehingga kini dalam PH berkenaan siapa yang bakal jadi perdana menteri.
"Ini juga menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa PH
khususnya Mahathir masih bertelagah sesama mereka tentang siapa yang
bakal menjadi perdana menteri.
Menurut sejarah, Dr Mahathir adalah individu yang bertanggungjawab
dalam menjatuhkan karier politik Anwar selepas beliau memecatnya dari
jawatan timbalan perdana menteri pada tahun 1998.
Tetapi pada hari ini, Dr Mahathir berpaling tadah apabila bersama dan
menyokong pembangkang kerana mahu menjatuhkan perdana menteri, Datuk
Seri Najib Razak.
Sehingga kini, persoalan mengenai siapa yang bakal mewakili pembangkang
untuk dipilih sebagai perdana menteri masih belum terjawab.
Malah pada bulan lalu, Anwar secara sukarelanya telah menarik diri
untuk dicalonkan sebagai perdana menteri sekiranya pakatan berjaya
menakluk Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan