Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyerah sepenuhnya soal
siapa yang layak dinamakan sebagai Perdana Menteri kepada Pakatan
Harapan (PH) jika gagasan pembangkang itu menang dalam pilihan raya akan
datang.
Meskipun berada di luar gagasan itu, Presidennya, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal bagaimanapun PH tidak menafikan hak mereka terutamanya di
Sabah.
"Apabila tiba masanya kita akan lihat bagaimana nanti jika mereka menubuhkan kerajaan.
"Soal siapa PM itu terserah kepada mereka sebab mereka bertanding
paling banyak di sini (Semenanjung). Kalau mereka berpakat, berpakatlah.
Yang penting kita mahu tuntut hak kita. Jangan tidak bagi hak kita,"
katanya kepada pemberita hari ini.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bertelagah dalam soal meletakkan calon perdana menteri.
Pemimpin pembangkang sebelum ini mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim
namun ditolak oleh Ketua Umum PKR itu dan mahu gagasan itu memberi
perhatian kepada dasar negara, kepincangan sistem dan ke arah kemenangan
PRU14.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pernah menyatakan kesediaanya
untuk sekali lagi dilantik untuk jawatan berkenaan sekiranya diminta
oleh rakan-rakan pembangkang.
Shafie dalam pada itu menegaskan partinya tidak akan menyertai PH
memandangkan Warisan menumpukan perjuangan untuk rakyat Sabah
semata-mata.
Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu memaklumkan ada
perbincangan di antara partinya bersama PKR dan DAP berkenaan
kerusi-kerusi yang akan ditandingi dalam PRU14.
"Saya tidak rasa PPBM akan bertanding di Sabah. Manakala DAP dan PKR
adalah antara parti-parti yang akan bertanding di negeri itu. Ada
perbincangan tidak formal berhubung perkara itu, dan rasanya tiada
masalah," ujarnya lagi.
Shafie juga ditanya kemungkinan kerusinya di Semporna 'diintai' rakan-rakan pembangkang itu.
"Itu memang kawasan saya, (namun) terserah Allah SWT jika dipanjangkan umur.
"Terserah (jika PH bertanding di Semporna). Kalau mereka mahu bertanding dengan saya, lawanlah," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan