Jumaat, 7 Julai 2017

Irfan Tamatkan Kemarau Pingat di ATF

Tareeq

Irfan


KUALA LUMPUR: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsudin menamatkan kemarau pingat Malaysia selama lapan tahun di Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF), selepas meraih pingat perak, Khamis malam.

Beliau menduduki tempat kedua selepas melakukan lemparan sejauh 60.96 meter pada kejohanan edisi ke-22 itu di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, menurut laman web rasmi kejohanan, www.odisha2017.games.

Atlet Iran, Ehsan Haddadi meraih pingat emas selepas melakukan lemparan sejauh 64.54m, manakala gangsa menjadi milik wakil tuan rumah, Vikas Gowda dengan catatan 60.81m.

“Keputusan hari ini (Khamis) membuktikan beliau mampu bersaing dan memberi tentangan terhadap atlet terbaik di Asia. Kami sentiasa maklum Ehsan Haddadi adalah peserta pilihan. Malah, pada Februari lepas, kita berusaha agar Irfan pergi ke Iran dan berlatih bersama atlet negara berkenaan.

“Malangnya, Persatuan Olahraga Iran tidak memberi maklum balas walaupun jurulatih mereka sudah bersetuju untuk membantu Irfan. Apa pun tahniah kepada Irfan dan jurulatihnya Franc Petrovic,” kata beliau.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat pada kejohanan itu adalah pada edisi 2009 menerusi Noraseela Mohd Khalid yang meraih perak dalam acara 400m lari berhalangan.

Sementara itu, dalam acara 100m wanita, kedua-dua wakil negara menempah tiket ke separuh akhir yang akan berlangsung hari ini (Jumaat).

Pada pusingan kelayakan semalam, ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli mencatat 11.79s pada saringan kedua, manakala Siti Fatimah Mohamed layak selepas melintasi garisan penamat dengan masa 11.88s dalam saringan keempat.


Tiada ulasan: