Mohd Hazmi Mohd Rusli, Astro Awani
Suatu perkara yang pasti – keputusan ICJ pada tahun 2008 telah menetapkan bahawa Batu Puteh bukanlah terra nullius dan pernah menjadi sebahagian daripada wilayah kesultanan Johor yang merdeka sebelum kesultanan tersebut menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaya pada tahun 1948. Ini menunjukkan secara sejarah, perairan di Batu Puteh dan sekitarnya adalah milik Malaysia.
Pertikaian Lanjutan
ICJ telahpun menamatkan pertikaian perebutan ke atas Batu Puteh di antara Malaysia dan Singapura. Sebelum kedaulatan ke atas Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura, kerajaan Singapura tidak boleh membuat sebarang tuntutan wilayah perairan di kawasan Laut China Selatan kerana wilayah induk negara tersebut dikelilingi wilayah Johor di kedua-dua sisi – daerah Pontian di Barat dan daerah Mersing di Timur. Di sebelah selatan menghadap Selat Singapura, negara tersebut berbatasan dengan Pulau Batam dan Pulau Bintan, Indonesia.
Kini, senarionya sudah sedikit berubah. Berikut adalah pertikaian susulan yang boleh lahir daripada keputusan ICJ ini:
- Walaupun Batu Puteh milik Singapura, adakah perairan di sekitarnya juga milik Singapura atau kekal milik Malaysia?
- Sekiranya perairan tersebut milik Singapura, bagaimanakah Malaysia dan Singapura menetapkan sempadan maritim di kawasan sempit di antara Batuan Tengah dan Batu Puteh?
- Negara manakah yang akan memiliki Tubir Selatan?
(a) Walaupun Batu Puteh milik Singapura, adakah perairan di sekitarnya juga milik Singapura atau kekal milik Malaysia?
Keputusan ICJ menetapkan bahawa Batu Puteh milik Singapura. Akan tetapi, pihak ICJ tidak memberikan penjelasan secara terang-terangan bahawa perairan di sekitarnya juga menjadi milik Singapura. Seperti yang telah disebut di awal artikel, secara sejarah, perairan di Batu Puteh dan sekitarnya adalah milik kesultanan Johor yang sekarang menjadi sebahagian dari Malaysia.
Sekiranya pihak ICJ membuat interpretasi bahawa hanya Batu Puteh milik Singapura dan perairan sekitarnya milik Malaysia, Singapura tidak boleh membuat tuntutan maritim di perairan sekitar Batu Puteh kerana ianya kekal di bawah kedaulatan Malaysia.
Namun begitu, sekiranya pihak ICJ berpendapat bahawa kedaulatan Singapura mencakupi Batu Puteh dan perairan sekitarnya, Singapura berhak menuntut 12 batu-nautika wilayah laut dari persisiran Batu Puteh seperti yang termaktub dalam Artikel 121 (3) Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut 1982 (LOSC). Tuntutan ini pasti akhirnya akan bertindih dengan wilayah laut Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan tersebut. Walaubagaimanapun, pihak Singapura tidak boleh menuntut zon ekonomi ekslusif kerana Batu Puteh bukanlah sebuah pulau, tetapi hanyalah batuan yang tidak boleh menjana ekonominya sendiri.
(b)
Sekiranya perairan tersebut milik Singapura, bagaimanakah Malaysia dan
Singapura menetapkan sempadan maritim di kawasan sempit di antara Batuan
Tengah dan Batu Puteh?
Jarak di antara Batuan Tengah dan Batu Puteh adalah lebih kurang 1 kilometer dari satu sama lain. Oleh kerana sesebuah negara boleh menuntut wilayah perairan seluas 12 nautika batu, sudah pasti tuntutan wilayah di antara Malaysia dan Singapura boleh bertindih di kawasan ini.
Senario ini boleh dijelaskan melalui Figura 2 berikut:
Sekiranya tuntutan seperti ini berlaku, adalah baik sekiranya kedua-dua negara dapat mencari formula untuk membahagikan wilayah perairan ini secara 'equitable' atau saksama. Ini boleh diwujudkan dengan mengidentifikasikan garis pembahagi tengah di antara tuntutan bertindih ini.
Secara teori, ini mungkin tampak mudah tetapi realitinya, banyak sudut-sudut teknikal yang harus dipertimbangkan oleh kedua-dua negara.
(c) Negara manakah yang akan memiliki Tubir Selatan?
ICJ telah menetapkan pada tahun 2008 bahawa Batu Puteh berada di bawah kedaulatan Singapura manakala Batuan Tengah disahkan milik Malaysia. Pihak ICJ tidak membuat keputusan jelas dan muktamad mengenai kedudukan Tubir Selatan, ciri maritim yang hanya muncul waktu air surut, kerana ianya terletak di kawasan perairan bertindih di antara Semenanjung Malaysia, Batu Puteh dan Batuan Tengah.
Artikel 3 LOSC menyebut mana-mana negara berdaulat layak mewujudkan wilayah perairannya sehingga 12 nautika batu (22 kilometer) dari garis dasar (baseline) wilayah daratnya. Setelah memiliki Batu Puteh secara sah pada tahun 2008, seperti Malaysia dan Indonesia, Singapura boleh menuntut hak perairan di kawasan tersebut.
Kesimpulan
Permohonan semakan penghakiman ini adalah suatu tindakan yang wajar bagi menentukan kedaulatan Malaysia ke atas wilayah paling kontroversi di selatan tanah air ini.
Kehilangan Batu Puteh adalah suatu pengajaran besar bagi Malaysia. Sebagai rakyat, kita seharusnya mengambil iktibar agar kedaulatan negara kita tidak dirobek – walau sekecil mana wilayah kita, kedaulatan ke atasnya haruslah kita pertahankan.
*Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan penyelidik bersekutu di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu. Beliau juga adalah seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan