Ahad, 2 Julai 2017

Husam mampu ikut jejak Tuan Guru Nik Aziz, kata Kit Siang

ZIKRI ABDULLAH

Pemimpin Amanah Kelantan yang juga mudir pondok Baba Zulkarnain makan bersama Kit Siang di rumah terbuka Amanah Nasional di Kota Bharu semalam.


Datuk Husam Musa yang dianggap tokoh paling sesuai mengetuai kerajaan Kelantan mampu menjadi pengganti Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin contoh.

Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata di negara ini amat sukar ditemui pemimpin yang boleh jadi ikutan rakyat dari segi ketelusan dan sifat sederhana.
"Rakyat bukan sahaja di Kelantan, malah seluruh negara akan mendapat tokoh disegani bila beliau (Husam) menjadi menteri besar Kelantan selepas pilihan raya umum nanti," katanya di majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran bersama DAP Cawangan Kebun Sultan dan Gajah Mati di Kelab Suara Muda, Kota Bharu petang semalam.
Beliau yakin pilihan raya kali ini akan menyaksikan perubahan menyeluruh di peringkat negeri dan persekutuan.

"Harapan saya, rakyat Kelantan akan memilih (Datuk) Husam (Musa) sebagai menteri besar.

"Dan tahun depan saya akan datang lagi untuk menghadiri rumah terbuka Pakatan Harapan bersama menteri besar yang baru," katanya.

Mengenang Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Kit Siang menyifatkan Almarhum sebagai pemimpin contoh yang menjadi inspirasi kepada rakyat.

"Bukan sekadar di Kelantan, seluruh Malaysia mengkagumi dan mahu mencontohinya," katanya.

Lim yang dalam aturcara jelajah raya Pantai Timur sebelum itu menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Amanah Nasional di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu.

"Hari ini masuk hari ketiga saya di Pahang dan Kelantan meraikan hari raya," katanya.

Tiada ulasan: