Penggunaan iklan kadbod, patung plastik atau seumpamanya yang memaparkan wajah serta tubuh wanita adalah haram di sisi agama Islam.
Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, semua pihak seharusnya sedar kesan negatif yang timbul seandainya iklan seumpama itu tular dalam masyarakat negara ini.
"Haram iklan berkenaan lebih-lebih lagi ia menjadi keghairahan. Penggunaan gambar wanita dalam kadbod dan patung juga tidak boleh.
"Sudah jadi benda negatif pula bila orang cium, pegang dan buat macam-macam kepada iklan itu," katanya Astroawani hari ini.
Dr Harussani mengulas mengenai tindakan syarikat minyak gergasi Shell baru-baru ini yang mengarahkan poster gadis 'air mineral' ditarik balik dari semua stesen mereka selepas segelintir lelaki yang bertindak di luar batasan terhadap poster model itu, Nor Shafila Khairusalleh ketika bergambar.
Bagaimanapun, Penyelia Shell cawangan Tronoh itu sudah memaafkan tindakan lelaki berkenaan dan berkata, walaupun perkara tersebut mengaibkan namanya namun tidak ingin perkara tersebut berlarutan.
Dalam pada itu tegas Harussani, penggunaan patung terutama kepada kanak-kanak dibolehkan dan konsepnya berbeza berbanding muka wanita dalam iklan kadbod.
"Untuk kanak-kanak patung sebagai permainan boleh menenangkan mereka daripada menangis dan mengganggu ibu bapa yang sedang bekerja, jadi ia dibolehkan.
"Ia termasuk poster atau papan iklan di lebuh raya misalnya yang memberi mesej keselamatan pemandu kenderaan, itu juga boleh," jelasnya.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman di dalam sebuah portal dilaporkan, menganggap apa yang terjadi ke atas Nor Shafila adalah kerana Shell menggunakan wanita dalam iklannya.
Jelas Abdullah, adalah fitrah untuk lelaki terangsang apabila melihat perempuan, walaupun mengakui mereka sepatutnya menjaga pandangan dan mengawal tingkah laku.
Nor Shafila, yang satu ketika dulu popular apabila posternya yang menimbulkan kejutan mulai tular di laman sosial, muncul sekali lagi dengan poster bersaiz badan penuh manusia mempromosikan bahan api Shell yang mempunyai Dynaflex.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan