Selasa, 4 Julai 2017

Gesa tubuh RCI: Tuan Ibrahim dangkal fahami isu 1MDB, kata Puad

MALAYSIA DATELINE




Seruan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar semua pihak melobi kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memperlihatkan kedangkalannya dalam  memahami isu membabitkan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) kata, Datuk Dr Puad Zakarshi.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu berkata,  Tuan Ibrahim dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan lain membangkitkan perkara yang sama kerana tidak memahami fakta dan perkembangan semasa berkaitan isu 1MDB.

Puad menjelaskan kerajaan telah berjaya melaksanakan dua perkara utama dalam menangani isu 1MDB, iaitu pertama, menstabilkan kedudukan kewangan syarikat dan menurunkan hutang 1MDB secara drastik melalui Pelan Rasionalisasi 1MDB.

Kedua, kerajaan telah membuktikan melalui semakan dan siasatan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang, bahawa dakwaan wang 1MDB lesap, dicuri dan diselewengkan adalah tidak benar sama sekali.

" Saya yakin Tuan Ibrahim tidak pernah membaca Laporan PAC setebal 106 mukasurat apabila beliau mempersoalkan tentang status rahsia rasmi Laporan Audit berkaitan 1MDB.

"Jika beliau pernah membacanya beliau akan menyedari walaupun Laporan Audit berkaitan 1MDB ini diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi oleh Ketua Audit Negara sendiri pada bulan Januari 2016 (menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada 26 Julai 2016), namun dapatan semakan dan kesimpulan oleh JAN ada dimasukkan ke dalam Laporan PAC sebagai rujukan.

"Sekiranya beliau rajin, beliau juga boleh membaca hansard prosiding PAC melibatkan pelbagai pihak termasuk Juruaudit Deloitte, KPMG, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB untuk melihat sendiri samada prosiding dilaksanakan secara telus atau tidak," ujarnya dalam kenyataannya hari ini.

Pada Ahad Tuan Ibrahim mengesa semua pihak melobi agar RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu 1MDB kerana dakwanya, rakyat sudah hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan negara.

Katanya, Pas mendesak agar RCI yang bebas dan adil yang turut disertai pihak pembangkang diwujudkan bagi menyiasat dan membentang kertas putih berhubung isu 1MDB.

Desakan menubuhkan RCI ini dibuat oleh pembangkang ekoran kerajaan dua minggu lalu, mengumumkan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal kewangan era 1980-an membabitkan Bank Negara Malaysia.

Pihak pembangkang mendesak suruhanjaya sama ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dana yang dilarikan daripada 1MDB.

Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menerangkan, dakwaan Tuan Ibrahim kegagalan penguatkuasa dalam negara membuka ruang kepada pihak luar membuat siasatan adalah sama sekali tidak benar.

Sebaliknya beliau menerangkan, ruang untuk pihak berkuasa asing ini dibuka oleh individu-individu yang membuat laporan dengan tujuan untuk memancing campur tangan pihak asing, ke dalam konflik politik di dalam negara yang mana dakwanya disokong oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tuan Ibrahim mempertikaikan keputusan Peguam Negara Tan Sri Appandi Ali kerana tidak membuat pendakwaan ke atas 1MDB selepas menerima laporan siasatan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan soal pemindahan dana ke luar negara.

"Hakikatnya, Tuan Ibrahim tidak membaca justifikasi yang dinyatakan oleh Peguam Negara pada 13 Oktober 2015 bahawa pendakwaan tidak dapat dibuat kerana BNM sendiri yang memberi kebenaran kepada 1MDB sebanyak tiga kali pada 29 september 2009, 6 September 2010 dan 20 Mei 2011 dan BNM sebagai pegawai pengawal tidak menghalang pemindahan terbabit.

"Kedangkalan Tuan Ibrahim juga teserlah apabila mempersoalkan kenapa siasatan domestik lebih lambat daripada siasatan di luar negara. Apa yang tidak difahami oleh Tuan Ibrahim adalah siasatan pihak berkuasa tempatan adalah bagi mendapatkan bukti kesalahan melangkaui keraguan munasabah.

"Sekiranya terdapat bukti prima facie barulah pendakwaan prosiding jenayah dapat dibuat.
Sedangkan pihak berkuasa Amerika Syarikat seperti DoJ tidak membuat pendakwaan jenayah menggunakan bukti prima facie, sebaliknya hanya memfailkan tuntutan sivil yang bersandarkan aduan awam dan "syak wasangka" berdasarkan "kemungkinan terdapat bukti yang lebih banyak" bahawa sesetengah harta yang ingin dirampas mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah.

"Sudah tentu siasatan bagi mencari bukti melangkaui keraguan munasabah akan mengambil masa yang lebih lama berbanding membuat saman sivil yang hanya berdasarkan syak wasangka dan andaian semata-mata," jelasnya yang berkata, saman sivil pengambil alihan aset atau pelucutan sivil (civil forfeiture) dikecam oleh rakyat Amerika Syarikat endiri sebagai suatu undang-undang yang zalim kerana memberi kuasa kepada agensi penguatkuasa AS merampas wang dan harta orang awam tanpa perlu membuat pendakwaan ke atas pemilik harta dan tanpa perlu membuktikan seseorang itu bersalah "melangkaui keraguan munasabah."

Puad berpandangan tidak wajar kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat isu 1MDB semata-mata kerana ada pihak berkuasa asing seperti DoJ memfailkan saman sivil.

Lebih-lebih lagi jika ia baru di peringkat fail dan belum dibicarakan di mahkamah.

Apatah lagi ujarnya, jika bersandarkan dokumen saman sivil terbaharu yang difailkan oleh DoJ ke atas Kumpulan Hotel Viceroy, dana yang didakwa diselewengkan secara perundangannya tidak dipunyai atau dikawal selia oleh 1MDB, tetapi adalah dana yang dimiliki atau dikawal selia oleh pihak-pihak yang mempunyai perkaitan dan kepentingan dengan syarikat Aabar dan IPIC milik Abu Dhabi.

Tiada ulasan: